SANDAKAN: Kebakaran yang memusnahkan kira-kira 1,000 rumah di Kampung Bahagia, Batu Sapi, awal pagi Ahad, didakwa berpunca daripada kecuaian seorang penghuni yang meninggalkan masakan di dapur sehingga api marak.
Ketua Kampung Bahagia, Sharif Hashim, 61, berkata, kejadian dipercayai bermula sekitar jam 1.10 pagi sebelum api merebak dengan pantas sehingga menjejaskan hampir 90 peratus kawasan kampung itu.
Advertisement
"Saya difahamkan, kebakaran berpunca daripada salah seorang penduduk yang sedang memasak namun meninggalkan dapur seketika.
"Apabila dia kembali, masakan itu sudah kering dan api mula marak. Dia cuba memadamkan api menggunakan kain tetapi kain itu pula terbakar. Kemudian dia cuba menggunakan kayu tapi api semakin besar dan merebak dengan cepat," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian pada Ahad.
Menurutnya lagi, api dipercayai bermula dari Lorong A sebelum merebak ke lorong lain, sekali gus memusnahkan sebahagian besar penempatan penduduk.
"Kampung ini mempunyai tiga lorong utama dan hampir semuanya terjejas. Dianggarkan terdapat kira-kira 1,200 rumah di Kampung Bahagia.
"Setakat ini, kebakaran kali ini adalah yang paling buruk pernah berlaku di kampung ini walaupun sebelum ini pernah terbakar pada 1993 dan 2001," katanya yang sudah menetap di kampung itu sejak 1988.
Sharif berkata, masalah kekurangan sumber air turut menyukarkan usaha memadam kebakaran kerana kawasan itu hanya mempunyai sumber air terbuka dari laut dan bukannya pili bomba.
"Kita memang ada sumber air, tetapi bukan pili bomba. Itu yang menyukarkan usaha memadam kebakaran ketika api sedang marak," katanya.
Mengulas keperluan penempatan sementara, beliau berkata, penduduk yang terjejas amat memerlukan khemah sementara menunggu bantuan lanjut daripada pihak kerajaan.
"Kalau setakat pusat pemindahan sementara (PPS) yang ada sekarang, memang tidak mencukupi. Penduduk perlukan khemah sementara dahulu," katanya. - Sinar Harian