TEHRAN: Ketua Turus Angkatan Tentera Iran, Mejar Jeneral, Mohammad Baqeri mengesahkan Iran telah menamatkan serangan balas di bawah Operasi Janji Benar ke atas wilayah Israel.

“Ia sudah berakhir dari sudut pandangan kami, namun tentera kami sentiasa siap siaga untuk bertindak jika wujud ancaman daripada musuh,” ujarnya pada Ahad beberapa jam selepas Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) melancarkan operasi menggemparkan itu.

Beberapa pakar percaya serangan dron pada skala perlahan itu untuk menghantar isyarat kepada Israel bahawa Iran boleh menggunakan keupayaan berbeza dalam taktik mereka.

"Tehran boleh melancarkan serangan berskala besar jika ia memilih untuk merentasi pelbagai vektor," ujar penganalisis kanan di Institut Dasar Strategi Australia di Washington, Nishank Motwani.

[LAPOR LANGSUNG] Konflik Iran-Israel: Malaysia gesa henti permusuhan, fokus kepentingan Palestin

Sejak awal bulan lalu, pihak berkuasa Iran telah berulang kali memberi amaran mahu 'menghukum' rejim Zionis kerana membunuh tujuh anggota IRGC termasuk dua jeneral unit elit Quds ketika ia melancarkan serangan ke atas konsulat Iran di Damsyik.

Beberapa hari selepas insiden itu, Pemimpin Agung Iran, Ayatollah Ali Khameni berkata, Israel akan 'ditampar' atas perbuatan mereka yang jelas menunjukkan Teheran tidak akan berdiam diri.

Sejak Revolusi 1979, Israel telah menjadi seteru utama negara republik Islam tersebut malah ia berulang kali menggesa tindakan membinasakan rejim Tel Aviv dengan sokongan ke atas tuntutan Palestin sebagai salah satu tonggak revolusi mereka.

Sehingga Sabtu, Tehran mengelak serangan secara terus ke atas Israel walaupun ia kekal menyokong gerakan Paksi Penentangan Anti-Israel terdiri daripada pejuang Hizbullah dan Huthi sejak Perang Gaza tercetus pada 7 Oktober lalu.

Beberapa jam sebelum Operasi Janji Benar bermula, Tehran dilaporkan merampas kapal kontena yang didakwa ada kaitan dengan Israel di perairan Teluk yang turut dikecam Amerika Syarikat (AS). - Agensi

*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian