INTERNATIONAL
Iran tawar jadi orang tengah selesaikan ketegangan India-Pakistan

Serangan mencetuskan tindakan balas oleh kedua-dua negara, termasuk menurunkan taraf hubungan diplomatik dan menggantung beberapa perjanjian dua hala. - AP
NEW DELHI: Iran menawarkan diri sebagai pengantara dalam menyelesaikan ketegangan antara India dan Pakistan susulan serangan yang mengorbankan 26 nyawa di Kashmir yang ditadbir India.
Ringkasan AI
- Iran menawarkan diri untuk menjadi pengantara dalam menyelesaikan ketegangan antara India dan Pakistan selepas insiden serangan yang mengorbankan 26 nyawa di Kashmir, yang ditadbir India.
- Serangan tersebut mencetuskan tindakan balas oleh kedua-dua negara, termasuk menurunkan taraf hubungan diplomatik dan menggantung beberapa perjanjian dua hala, sementara tuduhan saling dilemparkan.
- PBB menyeru India dan Pakistan untuk mengambil langkah berhemah bagi memastikan ketegangan tidak terus memuncak dan mengelakkan konflik ketenteraan di rantau tersebut.
"India dan Pakistan ialah jiran yang mempunyai hubungan persaudaraan dengan Iran, berakar umbi dari ikatan budaya dan peradaban sejak berabad lamanya.
"Seperti jiran-jiran lain, kami mengutamakan mereka.
"Tehran bersedia untuk menggunakan kedudukannya yang baik di Islamabad dan New Delhi bagi memupuk persefahaman pada saat yang sukar ini," kata Menteri Luar Iran, Seyed Abbas Araghchi dalam kenyataan di platform X pada Jumaat.
Hubungan kedua-dua negara terus tegang apabila India menuduh Pakistan mempunyai kaitan dalam serangan di Kashmir, menyebabkan siri tindakan balas yang membimbangkan serta kemungkinan tercetusnya konflik ketenteraan di Asia Selatan.
Pakistan pula menafikan sekeras-kerasnya tuduhan yang dilemparkan oleh India.
Kedua-dua negara memanggil duta asing masing-masing untuk memberikan taklimat berhubung perkembangan terkini.
Jurucakap Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Stephane Dujarric pada Khamis menggesa India dan Pakistan agar "mengamalkan langkah berhemah dan memastikan keadaan tidak terus meruncing."
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami