Iran tegas tidak mahu perang, tentera pada kesiapsiagaan tertinggi - Araghchi

Menteri Luar Negeri Republik Islam Iran, Dr. Seyed Abbas Araghchi menegaskan bahawa Iran tidak mahukan peperangan, namun negara itu kini berada pada tahap kesiapsiagaan tertinggi. - Foto REUTERS
KUALA LUMPUR: Menteri Luar Iran, Seyed Abbas Araghchi menegaskan bahawa negara itu tidak mahukan peperangan, namun tetap berada pada tahap kesiapsiagaan tertinggi untuk menghadapi sebarang ancaman luar susulan rusuhan yang berlaku baru-baru ini.
Ringkasan AI
- Iran menegaskan tidak mencari peperangan tetapi bersedia sepenuhnya untuk menghadapi ancaman luar susulan rusuhan terkini, menekankan keperluan kesiapsiagaan tertinggi sebagai langkah pencegahan.
- Data terbaru menunjukkan majoriti rakyat Iran menuntut tindakan tegas terhadap perusuh yang disifatkan sebagai ancaman luar; sekatan internet dilaksanakan sementara untuk keselamatan rakyat dan kedutaan asing.
- Iran bersedia untuk rundingan antarabangsa yang adil dan ikhlas, dengan syarat berdasarkan prinsip kesamarataan dan hormat-menghormati, menegaskan komitmen terhadap demonstrasi aman dan reformasi dialogik sebelum ini.
"Cara terbaik untuk mengelakkan peperangan adalah dengan sentiasa bersiap sedia. Kami tidak mencari peperangan, tetapi kami bersedia sepenuhnya untuk itu," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Mengulas mengenai situasi domestik, Araghchi mendedahkan bahawa data terbaharu menunjukkan majoriti rakyat Iran menuntut tindakan tegas diambil terhadap perusuh.
Menurut beliau, lebih 70 peratus populasi menyifatkan gangguan tersebut didalangi oleh kuasa asing, manakala hanya 30 peratus melihatnya berpunca daripada masalah ekonomi.
"Pasukan keselamatan kini mempunyai kawalan penuh di semua bandar. Apa yang berlaku dalam tempoh tiga hari lalu dilihat sebagai kesinambungan agenda luar untuk mengheret Iran ke kancah ketidakstabilan.
"Rakyat kami telah melawan dengan perpaduan, menggagalkan cubaan untuk memulakan operasi pengganas dari dalam yang bertujuan memberi jalan kepada campur tangan asing," tegas beliau.
Araghchi turut menjelaskan bahawa sekatan internet buat sementara waktu dilaksanakan demi menjamin keselamatan rakyat dan pihak kedutaan asing.
Beliau memberi jaminan bahawa usaha sedang dijalankan untuk memulihkan akses internet bagi kedutaan asing sebaik sahaja ancaman keselamatan reda.
Mengenai soal rundingan antarabangsa, beliau menyatakan pendirian terbuka Iran untuk kembali ke meja perundingan, namun dengan syarat ia mestilah berdasarkan prinsip kesamarataan dan hormat-menghormati.
"Kami bersedia untuk rundingan yang adil, bermaruah, dan ikhlas. Kami tidak akan menerima sebarang rundingan yang berbentuk arahan atau diktator sepertimana yang diamalkan oleh sesetengah negara lain," tambah beliau.
Tegasnya lagi, Iran adalah sebuah negara yang matang dan sentiasa bertoleransi terhadap demonstrasi aman yang sah di sisi undang-undang, malah kerajaan telah pun melaksanakan beberapa reformasi melalui proses dialog sebelum ini.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


