Skip to main content

Malaysia

1,600 jemaah umrah Malaysia terkandas di Arab Saudi susulan gangguan penerbangan

51718714953_tbjemaahhajiMalays.jpg
Kira-kira 1,600 jemaah umrah Malaysia dilaporkan terkandas di Arab Saudi susulan pembatalan dan gangguan operasi beberapa syarikat penerbangan akibat konflik di Timur Tengah ketika ini, kata Konsul Jeneral Malaysia di Jeddah Tengku Mohd Dzaraif Raja Abdul Kadir. - Gambar fail

KUALA LUMPUR: Kira-kira 1,600 jemaah umrah Malaysia dilaporkan terkandas di Arab Saudi susulan pembatalan dan gangguan operasi beberapa syarikat penerbangan akibat konflik di Asia Barat ketika ini, kata Konsul Jeneral Malaysia di Jeddah Tengku Mohd Dzaraif Raja Abdul Kadir.

Beliau berkata pihaknya berjaya menghubungi kebanyakan jemaah terlibat, yang dikenal pasti berada di Jeddah, Makkah dan Madinah.

Advertisement

"Alhamdulillah mereka dalam keadaan baik dan situasi di Arab Saudi terutamanya di Makkah, Madinah dan Jeddah juga sangat baik tanpa sebarang insiden yang tidak diingini," katanya dalam rancangan Malaysia Petang Ini terbitan Bernama TV pada Selasa.

Tengku Mohd Dzaraif berkata kebanyakan jemaah yang terkandas dijadualkan pulang ke tanah air menggunakan penerbangan Malaysia Airlines serta beberapa syarikat penerbangan lain termasuk Qatar Airways, Emirates dan Etihad.

Beliau berkata masih terdapat penerbangan terus dari Jeddah ke Kuala Lumpur melalui Saudia Airlines, selain perkhidmatan AirAsia yang beroperasi dengan kekerapan terhad.

"Ramai jemaah mengambil inisiatif sendiri atau diuruskan oleh ejen pelancongan untuk menukar penerbangan kepada Saudia Airlines, dan beberapa kumpulan telah berjaya pulang ke Malaysia.

"Malaysia Airlines juga telah bermurah hati menyediakan penginapan kepada jemaah yang sepatutnya pulang menggunakan syarikat itu," katanya.

Sementara itu, beliau berkata Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah telah membuka bilik operasi 24 jam bagi memantau situasi serta menyalurkan bantuan kepada rakyat Malaysia yang terjejas.

Pihak konsulat turut menyelaras bantuan penempatan sementara dan kebajikan kepada rakyat Malaysia yang memerlukan, termasuk 19 pelajar Malaysia yang terkandas di Jeddah akibat penutupan ruang udara di Jordan.

"Pelajar-pelajar ini telah diberikan penempatan sementara di konsulat dan juga di servis apartmen yang kita usahakan. Alhamdulillah pagi ini mereka telah bertolak pulang dengan bas yang kita sewa khas," katanya.

Beliau berkata pihak konsulat sentiasa berhubung dengan pihak berkuasa Arab Saudi dan memantau perkembangan semasa termasuk kemungkinan keperluan penerbangan khas sekiranya konflik berlarutan.

"Buat masa ini kita masih membuat penilaian berdasarkan situasi semasa. Syarikat-syarikat penerbangan juga sedia maklum tanggungjawab mereka dan sedang berusaha mencari jalan penyelesaian untuk menyambung semula operasi," katanya.

Krisis semasa di Asia Barat telah mendorong beberapa negara menutup atau mengehadkan penggunaan ruang udara masing-masing sebagai langkah berjaga-jaga, sekali gus menjejaskan operasi penerbangan komersial antarabangsa.

Situasi yang tidak menentu itu turut memberi kesan kepada jadual penerbangan ke dan dari beberapa hab utama di Timur Tengah, termasuk Arab Saudi, apabila syarikat penerbangan terpaksa membatalkan atau menjadualkan semula penerbangan atas faktor keselamatan.

-- BERNAMA

Must Watch Video