Iran tegaskan suasana kembali aman, tolak naratif palsu berita luar

Nasrabadi berkata, situasi telah stabil dan tiada tunjuk perasaan atau insiden keselamatan dilaporkan. - Gambar/ Bernama
KUALA LUMPUR: Tehran dan bandar utama lain di Iran kembali aman susulan pergolakan awal bulan ini, kata Duta Iran ke Malaysia, Valiollah Mohammadi Nasrabadi.
Beliau berkata situasi telah stabil dan tiada tunjuk perasaan atau insiden keselamatan dilaporkan.
"Kekacauan dikawal dalam dua setengah hari. Dari Sabtu lepas hingga sekarang, semuanya normal.
"Kehidupan kembali normal di seluruh ibu negara dan bandar lain," katanya kepada Bernama dalam temu bual mengenai perkembangan terbaharu di Iran susulan ketegangan di negara itu.
Duta berkenaan turut menolak apa yang disifatkan beliau sebagai liputan berat sebelah pergolakan itu oleh sesetengah media asing, mendakwa terdapat penyebaran maklumat salah dan penggunaan imej mengelirukan.
Menurut Nasrabadi, beberapa rakaman oleh media terbabit merupakan rakaman lama atau diambil dari negara lain dan disiarkan sebagai suasana terkini dari Iran.
Sebagai contoh iklim yang dipaparkan, beliau berkata Iran kini dalam musim sejuk namun ada rakaman yang menunjukkan orang ramai memakai pakaian untuk cuaca panas.
"Kehidupan di Tehran dan bandar lain telah kembali normal, situasi di lapangan sangat berbeza dengan apa yang digambarkan oleh media luar," katanya.
Beliau turut menafikan laporan berita bahawa kerajaan Iran mengenakan perintah berkurung di seluruh negara.
Pergolakan bermula daripada perhimpunan aman peniaga di Tehran Bazaar pada 28 Dis yang tidak berpuas hati dengan isu ekonomi berkaitan sekatan dan ketidakstabilan mata wang.
"Hari pertama dan kedua, polis tidak bertindak," kata Nasradabi sambil menambah bahawa campur tangan pihak berkuasa hanya selepas keganasan meningkat dan keselamatan orang awam terancam.
.PIhak berkuasa Iran menyalahkan elemen luar kerana mencetuskan keganasan. Menurut Nasradabi beberapa individu yang ditahan telah mengaku diupah untuk melakukan serangan.
Mengenai gangguan Internet, beliau berkata langkah itu adalah untuk menyekat perancangan yang dipercayai daripada luar negara untuk menghasut kekacauan awam dan sekatan itu akan dihentikan selepas pihak berkuasa yakin campur tangan luar telah berhenti.
Duta berkenaan menggesa komuniti antarabangsa termasuk dari rantau Asia Tenggara untuk menilai situasi itu berdasarkan informasi yang sah.
"Saya harap, insya-Allah, semua negara akan mengetahui cerita sebenar, bukan yang palsu," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


