Skip to main content

Dunia

Iran tidak akan penuhi kewajipan memorandum selagi AS langgar komitmen

Iran pursues diplomatic path, but remains vigilant: spokesman
Jurucakap Kementerian Luar Iran Esmaeil Baqaei berkata pada sidang media bahawa pendirian Tehran kekal berasaskan prinsip "komitmen sebagai pertukaran untuk komitmen." - Gambar fail/REUTERS
Advertisement

ISTANBUL: Iran pada Isnin menegaskan tidak akan memenuhi kewajipannya di bawah memorandum persefahaman yang diusahakan Pakistan dengan Amerika Syarikat (AS) selagi Washington terus melanggar komitmennya, lapor Anadolu Ajansi (AA) memetik media tempatan.

Jurucakap Kementerian Luar Iran Esmaeil Baqaei berkata pada sidang media bahawa pendirian Tehran kekal berasaskan prinsip "komitmen sebagai pertukaran untuk komitmen."

"Kami telah menyatakan sejak awal bahawa perkara ini berasaskan prinsip 'komitmen sebagai pertukaran untuk komitmen'. Jika pihak satu lagi (AS) mematuhi komitmennya, kami juga akan memenuhi komitmen kami," katanya seperti dipetik agensi berita separa rasmi Tasnim.

"Tiada siapa boleh menuduh Republik Islam Iran melanggar perjanjian. Dalam semua keadaan, kewajipan kami dan pihak satu lagi adalah jelas serta boleh dibuktikan," katanya sambil menuduh Washington melanggar "pelbagai peruntukan" memorandum itu "atas pelbagai alasan".

"Selagi pihak satu lagi terus melanggar komitmennya, Republik Islam Iran juga tidak akan memenuhi kewajipan yang telah dipersetujuinya," katanya.

Baqaei turut berkata memorandum persefahaman itu kini memasuki "fasa krisis".

Amaran itu dibuat ketika ketegangan antara Tehran dan Washington semakin memuncak susulan serangan Amerika Syarikat ke atas sasaran ketenteraan dan infrastruktur di seluruh Iran sebagai tindak balas terhadap serangan ke atas kapal komersial di Selat Hormuz.

Iran kemudian melancarkan serangan balas menggunakan peluru berpandu dan dron yang menyasarkan kemudahan ketenteraan AS di beberapa negara serantau, sambil menuduh Washington berulang kali melanggar persefahaman yang dicapai pada 17 Jun.

Presiden AS Donald Trump kemudiannya mengisytiharkan memorandum persefahaman itu "telah berakhir."

-- BERNAMA-ANADOLU

 

Must Watch Video

Advertisement