ISTANBUL: Kementerian Ekonomi Iran menubuhkan “Markas Perang Ekonomi” bagi menyelaras dan mempercepat usaha menangani masalah ekonomi yang timbul akibat situasi perang, kata Timbalan Menteri Ekonomi Morteza Zamanian pada Ahad.
Zamanian memberitahu agensi berita Tasnim bahawa badan itu pada peringkat awal akan memberi tumpuan kepada isu yang berada dalam bidang tanggungjawab dan kuasa kementerian, lapor Anadolu Ajansi.
Beliau berkata markas itu akan berusaha menangani dengan segera masalah berkaitan perang yang menjejaskan perniagaan, perdagangan, pembiayaan dan sektor ekonomi lain.
Bagi isu yang melangkaui bidang kuasa kementerian, Zamanian berkata kementerian akan menggunakan peranannya dalam penggubalan dasar ekonomi yang lebih luas, termasuk menerusi suruhanjaya ekonomi dan markas ekonomi kerajaan, bagi menyelaras antara institusi serta mencari penyelesaian di peringkat lebih tinggi.
Beliau berkata fungsi utama badan baharu itu adalah untuk mengenal pasti secara berpusat gangguan yang berpunca daripada situasi perang dan merangka penyelesaian praktikal.
Zamanian berkata mekanisme itu juga bertujuan mengelakkan isu yang memerlukan kerjasama beberapa agensi kerajaan daripada tertangguh akibat kerenah birokrasi.
Antara langkah yang sedang diusahakan termasuk bantuan cukai dan kastam, kemudahan perbankan serta instrumen kewangan untuk perniagaan yang terjejas akibat konflik, katanya.
Langkah itu diambil ketika konflik yang bermula selepas Amerika Syarikat (AS) dan Israel melancarkan serangan terhadap Iran pada Februari masih berterusan, disusuli serangan balas Iran terhadap sasaran AS di seluruh rantau itu.
Iran dan AS menandatangani memorandum persefahaman pada Jun dengan pengantaraan Pakistan dan Qatar, yang menggariskan langkah ke arah menamatkan permusuhan, membuka semula Selat Hormuz dan menangani sekatan ekonomi.
Tehran menuduh Washington gagal memenuhi komitmennya di bawah memorandum itu, termasuk melonggarkan sekatan dan membebaskan aset Iran yang dibekukan.
Washington pula menuduh Tehran gagal memenuhi kewajipannya dan terus mengenakan tekanan ekonomi terhadap Iran, dengan mendakwa sekatan itu bertujuan menyekat hasil serta rangkaian kewangan yang menurutnya menyokong kegiatan ketenteraan dan aktiviti serantau Tehran.
-- BERNAMA-ANADOLU