Skip to main content

Dunia

Bill Gates beri amaran tempoh 20 tahun huru-hara akibat AI

Bill Gates memberi amaran bahawa kecerdasan buatan (AI) boleh mencetuskan pergolakan ekonomi dan sosial selama dua dekad, menjejaskan pekerjaan dan kehidupan walaupun teknologi itu berjaya diuruskan. - Gambar fail/ Reuters
Bill Gates memberi amaran bahawa kecerdasan buatan (AI) boleh mencetuskan pergolakan ekonomi dan sosial selama dua dekad, menjejaskan pekerjaan dan kehidupan walaupun teknologi itu berjaya diuruskan. - Gambar fail/ Reuters

Advertisement

ISTANBUL: Bill Gates memberi amaran bahawa kecerdasan buatan (AI) boleh mencetuskan pergolakan ekonomi dan sosial selama dua dekad, menjejaskan pekerjaan dan kehidupan walaupun teknologi itu berjaya diuruskan, lapor Anadolu Ajansi, memetik audio siar Dekoder.

Dalam temu bual dengan Dekoder yang disiarkan pada Khamis, pengasas bersama Microsoft itu berkata, peralihan kepada ekonomi dipacu AI akan mewujudkan pihak yang mengaut keuntungan (winners) dan pihak yang rugi (losers) sekali gus berpotensi membentuk semula pekerjaan dan menimbulkan persoalan tentang peranan orang ramai dalam masyarakat.

"Kebimbangan besar saya ialah tempoh peralihan selama 20 tahun ini, di mana mereka akan mempunyai winners dan losers dan banyak yang terjejas,” kata Gates, 70, sambil menambah bahawa masyarakat perlu mengharungi keadaan huru-hara sebelum berpotensi memasuki era kelimpahan.

Beliau menyifatkan jangka masa itu sebagai anggaran dan bukannya ramalan yang kukuh, mengakui bahawa peralihan itu mungkin lebih pendek atau lebih lama bergantung pada kemajuan teknologi dan keputusan mengenai pembangunan yang perlahan.

Gates berkata, kemajuan dalam AI dan robotik humanoid akhirnya membolehkan mesin melakukan banyak kerja fizikal yang dijalankan oleh manusia, termasuk membina rumah, bertani dan juga melakukan pembedahan.

Walaupun kemajuan itu boleh mengurangkan kekurangan barangan dan perkhidmatan, beliau mencadangkan masyarakat menetapkan aktiviti tertentu untuk manusia, termasuk penjagaan kanak-kanak, penyediaan makanan, seni dan sukan.

Dermawan jutawan itu juga menyerlahkan potensi manfaat AI dalam penjagaan kesihatan dan pertanian tetapi memberi amaran bahawa kerajaan dan masyarakat tidak cukup bersedia untuk pembangunan pesatnya.

Beliau menggesa pengawasan kerajaan yang lebih kukuh dan perlindungan teknikal terhadap serangan siber dan ancaman biologi, dengan alasan bahawa syarikat AI sahaja tidak boleh bertanggungjawab untuk menguruskan risiko.

Gates juga memberi amaran bahawa walaupun dalam keadaan yang paling baik, pembangunan AI boleh membawa salah satu tempoh yang paling huru-hara dalam sejarah manusia.

"Saya benci menjadi pembawa berita mengenai perkara ini, tetapi lebih teruk lagi tidak memberitahu orang ramai bahawa perkara ini akan datang. Kita mempunyai pilihan sebagai manusia untuk menentukan bagaimana kita membentuknya," katanya.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement