Skip to main content

Dunia

IRGC tahan dua kapal kargo MSC Francesca dan Epaminondas secara aman

Kapal
Penahanan itu dibuat selepas kedua-dua kapal dikesan melanggar peraturan maritim serta beroperasi tanpa kebenaran daripada pihak berkuasa Iran, ujar IRGC dalam kenyataannya hari ini. - Foto kredit: Tasnim.

KUALA LUMPUR: Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) mengesahkan telah menahan dua buah kapal kargo tanpa melibatkan sebarang serangan ketenteraan ketika melalui perairan Selat Hormuz pada awal pagi, hari ini.

IRGC dalam kenyataannya berkata, kedua-dua kapal tersebut dikenal pasti sebagai MSC Francesca dan Epaminondas yang didakwa mempunyai kaitan dengan rejim Zionis Israel, lapor agensi berita Tasnim.

Advertisement

Menurut IRGC, tindakan penahanan itu dibuat selepas kedua-dua kapal dikesan melanggar peraturan maritim serta beroperasi tanpa kebenaran daripada pihak berkuasa Iran.

Angkatan itu turut mendakwa kapal-kapal berkenaan telah memanipulasi sistem bantuan navigasi, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan pelayaran di laluan strategik tersebut.

Difahamkan, kapal MSC Francesca didaftarkan di bawah Panama, manakala Epaminondas pula berdaftar di Greece, menjadikannya sebahagian daripada armada perdagangan antarabangsa yang aktif di rantau berkenaan.

Kenyataan itu turut menjelaskan bahawa kedua-dua kapal berkenaan dipercayai cuba keluar dari Selat Hormuz secara rahsia sebelum dikesan oleh unit Tentera Laut IRGC yang sedang melakukan rondaan keselamatan.

IRGC memaklumkan operasi penahanan itu dijalankan secara terkawal oleh pasukan lautnya tanpa berlaku sebarang insiden tembakan atau kecederaan terhadap kru kapal.

IRGC menegaskan bahawa sebarang percubaan untuk melanggar undang-undang maritim atau mengingkari garis panduan keselamatan, khususnya ketika ketegangan serantau, akan berdepan tindakan tegas daripada Republik Islam Iran.

Langkah itu dilihat sebagai sebahagian daripada usaha Iran memperketat kawalan di laluan perkapalan utama dunia susulan perkembangan keselamatan yang semakin tegang di rantau berkenaan.

Pada 19 April lalu, ketegangan di perairan sama memuncak apabila tentera Amerika Syarikat dilaporkan menyerang dan merampas kapal kargo Touska milik Iran.

Serangan provokasi itu dilakukan ketika Washington dan Tehran sedang melaksanakan gencatan senjata sementara bagi tujuan rundingan di Pakistan.


 

Must Watch Video