ISRAEL mengarahkan orang awam meninggalkan kawasan Semenanjung Gaza pada Isnin dan mengancam untuk meluaskan operasi ketenteraanya hingga ke selatan wilayah itu.

Tentera Pertahanan Israel (IDF) dalam satu ciapan di platform X menyiarkan peta lokasi potensi serangan dan menyasarkan satu perempat bandar Khan Younis.

Menerusi peta itu, tentera IDF memberi amaran kepada penduduk Gaza untuk segera berpindah menuju ke arah pantai Mediterranean dan ke arah Rafah, berhampiran sempadan Mesir.

Ketua jurucakap bahasa Arab tentera Israel kemudiannya mengeluarkan kenyataan di platform X bahawa jalan keluar dari Khan Younis ke utara "merupakan medan perang" dan kini ditutup.

Bagaimanapun, akses akan dibenarkan di pinggir barat bandar, manakala di Rafah, penggantungan taktikal aktiviti ketenteraan yang singkat akan membolehkan akses sehingga awal petang.

Pada masa sama, Israel menyalahkan Hamas meletakkan orang awam dalam bahaya kerana melancarkan operasi dari kawasan awam, termasuk dalam terowong yang hanya boleh dimusnahkan oleh bom besar.

Bagaimanapun Hamas menafikan dakwaan tersebut.

Sebanyak 80 peratus daripada 2.3 juta penduduk Gaza telah meninggalkan rumah mereka dalam kempen pengeboman Israel yang telah menyebabkan sebahagian besar kawasan pantai yang sesak menjadi tanah gersang.

Kementerian Kesihatan Palestin menganggarkan jumlah korban akibat serangan pengeboman rejim Zionis Israel ke Gaza mencecah 15,500 orang, dengan beribu-ribu lagi hilang dan dikhuatiri tertimbus dalam runtuhan.