Skip to main content

Dunia

Israel bedil selatan Lubnan, pihak berkuasa beri amaran mengenai bom kluster dan periuk api

Bedilan artileri turut menyasarkan Mansouri di Daerah Tyre, selain kawasan sekitar Yater serta lembah berhampiran Beit Lif dan Srebbine di Bint Jbeil. - AP
Bedilan artileri turut menyasarkan Mansouri di Daerah Tyre, selain kawasan sekitar Yater serta lembah berhampiran Beit Lif dan Srebbine di Bint Jbeil. - AP

Advertisement

BEIRUT/ISTANBUL: Beberapa kawasan di selatan Lubnan menjadi sasaran tembakan artileri dan mesingan berat Israel pada Isnin, ketika pihak berkuasa Lubnan memberi amaran kepada penduduk supaya tidak memasuki kebun zaitun berikutan kebimbangan mengenai bom kluster dan periuk api, lapor Anadolu Ajansi yang memetik media tempatan.

Agensi Berita Nasional Lubnan (NNA) melaporkan bahawa bedilan artileri pada waktu malam menyasarkan kawasan Al-Araish di Haris, Wadi al-Salouqi serta pinggir Shaqra, Kfar Tebnit dan Wadi Zibqin di selatan negara itu.

Pasukan Israel turut melepaskan tembakan mesingan berat ke arah kawasan antara Kfar Tebnit dengan Zawtar al-Sharqiya, serta Wadi al-Hujeir menuju ke Bandar Ghandourieh di Wilayah Nabatieh, menurut agensi itu.

Bedilan artileri turut menyasarkan Mansouri di Daerah Tyre, selain kawasan sekitar Yater serta lembah berhampiran Beit Lif dan Srebbine di Bint Jbeil.

Dalam perkembangan berasingan, pihak berkuasa tempatan di bandar Froun dan Yater di Bint Jbeil memberi amaran kepada penduduk supaya tidak memasuki kebun zaitun sebelum mendapatkan nasihat daripada pihak berkuasa berkaitan, berikutan kemungkinan terdapat bom kluster dan periuk api yang ditinggalkan susulan serangan Israel sebelum ini.

Amaran itu dikeluarkan selepas seorang lelaki terbunuh di Froun apabila sebutir periuk api meletup ketika dia memeriksa kebun zaitunnya, menurut NNA.

Seorang lagi lelaki terbunuh di Yater selepas menjadi sasaran langsung tentera Israel, lapor agensi itu.

Perkembangan terbaharu itu berlaku ketika serangan Israel ke atas Lubnan berterusan sejak 2 Mac, mengorbankan 4,386 orang dan mencederakan 12,413 yang lain, menurut pihak berkuasa Lubnan.

Pada 26 Jun, Beirut dan Tel Aviv menandatangani satu perjanjian rangka kerja tajaan Amerika Syarikat (AS) yang memperuntukkan pengunduran Israel secara berperingkat dari wilayah Lubnan serta penempatan tentera Lubnan di kawasan berkenaan.

Walaupun perjanjian itu dimeterai, Israel terus melancarkan serangan ke atas selatan Lubnan dan masih menguasai beberapa kawasan di wilayah itu, termasuk kawasan yang diduduki sejak beberapa dekad lepas serta kawasan yang dirampas semasa peperangan dan operasi ketenteraan baru-baru ini.

-- BERNAMA-ANADOLU

Must Watch Video

Advertisement