“Israel berperang dengan bayang-bayang" – Presiden Syria

Al-Sharaa menegaskan hasrat negaranya untuk kestabilan, menuntut Israel berundur ke kedudukan sebelum kejatuhan al-Assad dan mematuhi Perjanjian Pemisahan 1974. - Foto REUTERS
DOHA: Presiden Syria, Ahmed al-Sharaa menuduh Israel mencetuskan ketegangan serantau bagi mengalihkan perhatian daripada “pembunuhan beramai-ramai” yang dilakukan di Gaza.
Ringkasan AI
- Presiden Syria menuduh Israel mencetuskan ketegangan serantau untuk mengalihkan perhatian daripada kejadian "pembunuhan beramai-ramai" di Gaza.
- Israel didakwa terlibat dalam serangan udara di Syria selepas kejatuhan rejim Bashar al-Assad, mengorbankan nyawa serta menghalang rakyat Syria secara haram.
- Presiden Syria menegaskan hasrat negaranya untuk kestabilan, menuntut Israel berundur ke kedudukan sebelum kejatuhan al-Assad dan mematuhi Perjanjian Pemisahan 1974.
“Israel kini berperang dengan bayang-bayang,” tegasnya.
Sejak kejatuhan rejim Bashar al-Assad pada Disember 2024, Israel kerap melancarkan serangan udara di Syria, mengorbankan ratusan nyawa, selain operasi darat di selatan negara itu.
Bulan lalu, sekurang-kurangnya 13 orang terbunuh dalam serangan Israel di Beit Jinn, pinggir Damsyik.
Israel juga didakwa mara lebih jauh ke wilayah Syria, menubuhkan sekatan jalan dan menahan rakyat Syria secara haram.
Al-Sharaa menegaskan, pentadbirannya berusaha meredakan ketegangan sejak beliau mengambil alih tampuk pemerintahan.
“Kami nyatakan dengan jelas bahawa Syria mahu menjadi negara stabil, bukan pencetus konflik, termasuk terhadap Israel,” katanya.
“Namun, Israel membalas dengan keganasan melampau dan pelanggaran besar terhadap ruang udara kami.”
‘Syria diserang Israel, bukan sebaliknya’
Beliau, dalam masa sama, menuntut Israel berundur ke kedudukan sebelum kejatuhan al-Assad dan mematuhi Perjanjian Pemisahan 1974 yang mewujudkan zon penampan di Bukit Golan.
“Perjanjian ini bertahan lebih 50 tahun. Cuba menggantikannya dengan zon baharu boleh membawa wilayah ini ke situasi berbahaya,” katanya.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu sebelum ini berkata, perjanjian baharu dengan Syria hampir dicapai, termasuk cadangan zon penampan dari Damsyik ke Jabal al-Sheikh.
“Yang diserang ialah Syria, bukan Israel. Jadi siapa lebih berhak menuntut zon penampan dan pengunduran?” soal al-Sharaa.
Perpaduan dan masa depan Syria
Menyentuh isu perpaduan, al-Sharaa mengakui cabaran masih wujud tetapi menegaskan Syria kini berada di landasan terbaik.
“Kami memaafkan banyak pihak dan kumpulan demi membina masa depan yang selamat,” katanya, sambil menolak dakwaan kebangkitan menentang al-Assad sebagai ‘revolusi Sunni.’
Beliau turut mengakui insiden keganasan antara mazhab berlaku awal tahun ini, termasuk di kawasan pantai dan Suwayda, yang mengorbankan ribuan nyawa.
“Syria ialah negara undang-undang. Hanya undang-undang mampu menjamin hak semua pihak,” tegasnya.
Hak wanita dan pilihan raya
Menjawab kebimbangan terhadap hak wanita di bawah kerajaan baharu, al-Sharaa berkata wanita kini “diberi kuasa” dan hak mereka dilindungi.
“Kami pastikan wanita terlibat sepenuhnya dalam kerajaan dan Parlimen,” katanya.
Beliau juga berjanji pilihan raya akan diadakan dalam tempoh lima tahun selepas fasa peralihan berakhir.
“Prinsip rakyat memilih pemimpin adalah asas. Ini jalan terbaik untuk Syria,” katanya. - Agensi

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

