DUNIA
Israel-AS boikot sidang PBB ketika dunia sokong pelan dua negara

Sidang ini diadakan sehari sebelum pembukaan Perhimpunan Agung PBB dan dijangka menyaksikan pengumuman rasmi oleh Presiden Perancis Emmanuel Macron mengenai pengiktirafan negara Palestin. -Gambar fail/Reuters
NEW YORK: Sidang kemuncak berprofil tinggi yang dianjurkan Perancis dan Arab Saudi berlangsung hari ini di Ibu Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), di sini.
Ringkasan AI
- Sidang kemuncak anjuran Perancis dan Arab Saudi di PBB bertujuan menghidupkan semula pelan penyelesaian dua negara antara Israel dan Palestin, dengan pengiktirafan rasmi oleh Presiden Macron dijangka diumumkan.
- Israel dan Amerika Syarikat memboikot sidang tersebut, menyifatkannya sebagai propaganda, manakala dokumen Deklarasi New York menjadi fokus utama perbincangan.
- PBB beri amaran penyelesaian dua negara berisiko lenyap, sementara Israel pertimbang pengilhakan Tebing Barat dan Abbas dijangka berucap melalui video.
Langkah ini menyusul selepas United Kingdom, Kanada, Australia dan Portugal mengiktiraf negara Palestin pada 21 September, satu tindakan bersejarah yang mendapat kecaman hebat daripada Israel dan Amerika Syarikat (AS).
Kedua-dua negara itu telah menyatakan pendirian untuk memboikot sidang kemuncak tersebut, dengan Duta Israel ke PBB, Danny Danon, menyifatkan acara itu sebagai “sarkas politik” yang kononnya menggalakkan keganasan.
Sidang kemuncak ini akan membincangkan pelaksanaan Deklarasi New York, dokumen tujuh muka surat yang diluluskan oleh Perhimpunan Agung PBB awal bulan ini.
Ia menggariskan langkah-langkah konkrit dan berjadual ke arah penyelesaian dua negara, termasuk gencatan senjata, pembebasan tebusan, kemasukan bantuan kemanusiaan ke Gaza, serta pelucutan senjata Hamas.
Setiausaha Agung PBB António Guterres sebelum ini memberi amaran bahawa idea penyelesaian dua negara berisiko lenyap sepenuhnya jika tindakan segera tidak diambil.
Beliau menegaskan bahawa komuniti antarabangsa mempunyai tanggungjawab untuk memastikan pelan tersebut terus hidup dan dilaksanakan.
Israel dilaporkan sedang mempertimbangkan tindakan balas termasuk pengilhakan sebahagian wilayah Tebing Barat, manakala Perdana Menteri Benjamin Netanyahu dijangka mencari sokongan AS semasa lawatannya ke New York untuk Perhimpunan Agung PBB.
Sementara itu, Presiden Palestin Mahmoud Abbas tidak hadir secara fizikal ke sidang kemuncak tersebut dan dijangka berucap melalui video.
Arab Saudi, sebagai penganjur bersama, turut tidak menghantar wakil tertinggi, namun menyatakan komitmen terhadap pelan damai yang inklusif dan berasaskan sempadan pra-1967.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami