RAMALLAH: Ketibaan 1 Ramadan pada Sabtu dicemari dengan insiden keganasan setelah tiga anggota Gerakan Jihad Islam maut ditembak rejim Zionis di Tebing Barat ketika ketegangan semakin meningkat di wilayah tersebut sejak minggu lalu.

Kejadian itu berlaku ketika tentera Israel cuba memberkas mereka yang didakwa sebagai 'suspek pengganas' berhampiran bandar Jenin hingga mencetuskan insiden berbalas tembakan dan mengakibatkan empat anggota keselamatan berkenaan cedera.

Sayap senjata gerakan itu turut mengesahkan kematian tiga pejuang tersebut sambil menambah dua daripadanya dari Jenin dan seorang lagi dari Tulkarem.

Pada Jumaat, seorang pemuda Palestin berusia 29 tahun dilaporkan mati ditembak ketika insiden pertempuran di bandar Hebron.

Agensi berita Wafa melaporkan mangsa dikenal pasti sebagai Ahmad al-Atrash dan menyertai protes tersebut untuk membantah projek penempatan haram Yahudi malah dia pernah meringkuk dalam penjara Israel selama enam tahun.

Susulan konflik yang semakin meruncing, Pasukan Pertahanan Israel (IDF) dilaporkan telah mengerahkan 12 batalion tambahan ke Tebing Barat sebagai langkah berjaga-jaga untuk mengelakkan peperangan berlarutan selama 11 hari yang tercetus pada Mei tahun lalu daripada kembali berulang.

Sejak 10 hari lalu, sekurang-kurangnya 11 penduduk Israel didakwa terbunuh dalam tiga siri serangan yang dikhuatiri bakal mencetuskan konflik terburuk sejak Intifada Kedua (September 2000- Februari 2005). - Agensi

Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.