TEL AVIV: Israel mendakwa telah memusnahkan kira-kira dua per tiga daripada rejimen kumpulan pejuang Hamas di Gaza.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata demikian pada Khamis sambil berikrar untuk meneruskan perang sehingga mencapai kemenangan sepenuhnya.

Katanya terdepat dua peringkat untuk pertempuran, pertama; memusnahkan rejimen pejuang Hamas dan kedua adalah pembersihan wilayah menerusi ketenteraan.

"Terdapat dua peringkat untuk pertempuran. Yang pertama ialah memusnahkan rejimen Hamas, itu adalah rangka kerja tempur mereka yang teratur. Sehingga kini 16 atau 17 daripada 24 telah musnah.

"Selepas itu ada (peringkat) membersihkan wilayah itu (daripada militan). Tindakan pertama biasanya lebih pendek, yang kedua biasanya mengambil masa lebih lama dan kami menangani kedua-dua perkara pada masa yang sama," katanya.

Netanyahu turut berjanji pertempuran akan berterusan sehingga Hamas ditewaskan dan tebusan di Gaza dibebaskan sepenuhnya.

Beliau juga berkata, meskipun peperangan akan berlangsung berbulan lamanya namun Israel komited untuk mencapai kemenangan.