Skip to main content

Malaysia

Konflik Asia Barat: AMK seru Kerajaan benarkan WFH bagi sektor tertentu

41762332641_TBPUTRAJAYA.jpg
Dasar WFH dilihat satu langkah proaktif bagi mengurangkan pergerakan harian rakyat, sekali gus menjimatkan penggunaan petrol dan mengurangkan tekanan terhadap perbelanjaan subsidi bahan api khususnya RON95.

KUALA LUMPUR: Kerajaan diseru untuk mempertimbangkan pelaksanaan dasar kerja dari rumah (Work From Home – WFH) secara bersasar bagi sektor tertentu.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Mohd Kamil Abdul Munim berkata, dasar itu dilihat perlu susulan kenaikan harga minyak dunia akibat ketidaktentuan geopolitik di Asia Barat.

Advertisement

Cadangan tersebut, jelas Setiausaha Politik Menteri Kewangan itu lagi, dilihat sebagai langkah proaktif bagi mengurangkan pergerakan harian rakyat, sekali gus menjimatkan penggunaan petrol dan mengurangkan tekanan terhadap perbelanjaan subsidi bahan api khususnya RON95.

“Pelaksanaan dasar ini boleh dimulakan di pejabat kerajaan, agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), sebelum diperluaskan kepada sektor swasta yang bersesuaian mengikut keperluan operasi masing-masing.

“Pendekatan ini juga dapat membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas di kawasan bandar, menjimatkan kos pengangkutan rakyat serta menyumbang kepada pengurangan penggunaan bahan api dalam keadaan ekonomi global yang tidak menentu,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Rabu mengumumkan beberapa langkah penjimatan bagi menghadapi impak ekonomi akibat perang yang tercetus akibat serangan Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran.

Ia termasuk mengehadkan perjalanan ke luar negeri bagi ahli Jemaah Menteri dan pegawai Kerajaan; membatalkan penganjuran rumah terbuka Aidilfitri bagi Kerajaan dan syarikat berkaitan Kerajaan; serta terus menetapkan RON95 pada kadar RM1.99.

Dalam pada itu , Kamil berkata, langkah tersebut berpotensi membantu kerajaan mengurus perbelanjaan subsidi bahan api dengan lebih berhemah selain mengurangkan beban kos kepada rakyat yang terkesan dengan peningkatan harga minyak dunia.

Cadangan pelaksanaan secara fleksibel seperti beberapa hari bekerja dari rumah dalam seminggu, jelasnya lagi, boleh dipertimbangkan tertakluk kepada kesesuaian fungsi jabatan, agensi dan organisasi.

“Pendekatan ini juga selari dengan usaha meningkatkan keseimbangan kehidupan dan pekerjaan di samping menyokong agenda kelestarian melalui pengurangan penggunaan kenderaan dan pelepasan karbon,” tambahnya. 

 

Must Watch Video