DUNIA
Israel gagal patuhi tempoh 12 bulan PBB akhiri pendudukan haram

Asap tebal menjulang ke langit susulan serangan tentera Israel di Semenanjung Gaza, seperti yang dilihat dari selatan Israel. - Foto AP
WASHINGTON: Israel pada Khamis gagal mematuhi tempoh 12 bulan yang ditetapkan oleh Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menamatkan pendudukan haramnya di Tebing Barat dan Semenanjung Gaza, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Tempoh itu ditetapkan menerusi resolusi yang diluluskan pada 18 Sept 2024, yang menuntut Israel mengakhiri kehadirannya yang tidak sah di wilayah Palestin yang diduduki dalam masa setahun.
Resolusi yang digerakkan Palestin itu menerima sokongan besar dengan 124 negara mengundi menyokong, manakala hanya 14 menentang.
Resolusi itu turut menegaskan penempatan Israel melanggar undang-undang antarabangsa serta menegaskan rakyat Palestin mempunyai hak untuk menentukan nasib sendiri di bawah Piagam PBB.Ia dengan jelas menuntut "Israel menamatkan tanpa berlengah kehadirannya yang tidak sah di Wilayah Palestin yang Diduduki, yang merupakan perbuatan salah berterusan dan menjejaskan tanggungjawab antarabangsa, dan berbuat demikian tidak lewat daripada 12 bulan selepas resolusi ini diluluskan."
Misi Palestin ke PBB berkata sebaliknya, "dengan mencabar Piagam PBB, undang-undang antarabangsa ICJ, resolusi Perhimpunan Agung, dan pendirian global, Israel semakin mengukuhkan penjajahan haramnya melalui genosid, aparteid dan pembersihan etnik."
Kenyataan itu merujuk kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), yang Israel sedang berdepan kes genosid berkaitan perang di Gaza yang telah meragut lebih 65,000 nyawa penduduk Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.
Mahkamah itu pada 19 Julai 2024 turut mengeluarkan pendapat nasihat bahawa pendudukan Israel ke atas Palestin adalah tidak sah dan perlu ditamatkan "secepat mungkin."
Resolusi Perhimpunan Agung bertujuan memberi lebih kekuatan kepada penemuan mahkamah tersebut.
Dalam tempoh setahun lalu, Israel meningkatkan serangan di Gaza yang kini dilanda kebuluran dan kekurangan makanan serius serta sebahagian besar wilayah itu musnah sama sekali.
Di Tebing Barat yang diduduki, Israel turut memperhebatkan pembinaan penempatan haram dan mempergiatkan pengusiran paksa rakyat Palestin.
-- BERNAMA

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami