Skip to main content

Dunia

Israel hantar aktivis flotila bantuan Gaza yang ditahan ke Greece

CCTV footage shows crew members of the second flotilla that sailed from the Spanish port of Barcelona, at a location given as at sea off the coast of Greece, Apr 30, 2026. (Photo: REUTERS/Global Sumud Flotilla)
Rakaman CCTV menunjukkan kru flotila kedua yang berlepas dari pelabuhan Barcelona, Sepanyol, di lokasi yang dinyatakan sebagai di laut berhampiran pantai Greece, 30 April 2026. - Gambar Reuters

JERUSALEM: Israel berkata, puluhan aktivis yang ditahan oleh tenteranya selepas mencegat flotila bantuan menuju ke Gaza di perairan antarabangsa berhampiran Crete akan dihantar ke Greece.

Terdahulu, Kementerian Luar Israel memaklumkan, kira-kira 175 aktivis ditahan daripada lebih 20 bot yang terlibat dalam flotila berkenaan.

Advertisement

Flotila itu merupakan percubaan terbaharu aktivis pro-Palestin untuk memecah sekatan Israel ke atas Gaza, dengan penganjur menyatakan seramai 211 individu ditahan, termasuk seorang ahli majlis bandaraya Paris.

“Dengan penyelarasan bersama kerajaan Greece, individu yang dipindahkan dari bot flotila ke kapal Israel akan diturunkan di sebuah pantai di Greece dalam beberapa jam akan datang,” tulis Menteri Luar Israel, Gideon Saar, di platform X.

Jurucakap Global Sumud France, Helene Coron sebelum ini memberitahu satu sidang media dalam talian bahawa operasi pencegahan itu berlaku berhampiran pulau Crete di Greece, pada jarak yang disifatkannya sebagai “tidak pernah berlaku sebelum ini” dari pantai Gaza.

Seorang aktivis yang berada di atas flotila, Yasmine Scola berkata, rakan-rakannya telah “diculik” oleh Israel.

Paris memaklumkan, seramai 15 warganegara Perancis telah ditahan, manakala Rome menyeru pembebasan segera “semua rakyat Itali yang ditahan secara tidak sah”, dengan agensi berita Ansa melaporkan jumlah itu mencecah 24 orang.

Coron berkata, antara yang ditahan ialah ahli majlis tempatan Parti Komunis Paris, Raphaelle Primet.

Rome dan Berlin dalam satu kenyataan bersama menyatakan mereka memantau perkembangan tersebut “dengan penuh kebimbangan”, manakala Madrid mengecam rampasan berkenaan dan memanggil pulang pegawai diplomatik Israel di Sepanyol.

Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez menuduh Israel “sekali lagi melanggar undang-undang antarabangsa dengan menyerang flotila awam di perairan yang bukan miliknya”, sambil menggesa Kesatuan Eropah (EU) membekukan hubungan dua hala.

Sementara itu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, menyifatkan operasi pencegahan itu sebagai satu “kejayaan total” dan melabelkan peserta flotila sebagai “penyokong Hamas.”

Bot masih dalam perjalanan

Pada musim panas dan luruh 2025, pelayaran pertama Global Sumud Flotilla merentasi Laut Mediterranean menuju Gaza telah mencetuskan perhatian seluruh dunia.

Bot-bot dalam flotila berkenaan dipintas Israel di perairan berhampiran Mesir dan Gaza pada awal Oktober. 

Anak kapal, termasuk aktivis Sweden, Greta Thunberg, ditahan sebelum diusir keluar oleh Israel.

Penganjur flotila terbaharu itu memaklumkan awal Khamis bahawa bot-bot mereka telah dikepung kapal tentera Israel ketika berada di luar pantai Crete.

“Bot kami dihampiri bot laju tentera yang mengenal pasti diri mereka sebagai ‘Israel’, menggunakan pancaran laser dan senjata api separa automatik sambil mengarahkan peserta ke hadapan bot dan merangkak berlutut,” menurut kenyataan Global Sumud Flotilla.

AFP mengesahkan, berdasarkan data penjejakan penganjur, bahawa bot-bot itu dipintas dalam Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) Greece.

Menurut sumber sama, kira-kira 30 bot flotila masih dalam perjalanan, kebanyakannya kini berada di perairan wilayah Greece di selatan Crete.

Flotila yang terdiri daripada lebih 50 kapal itu berlepas dalam beberapa minggu kebelakangan ini dari Marseille di Perancis, Barcelona di Sepanyol dan Syracuse di Itali.

“Pencegahan terang-terangan”

Jurucakap Kementerian Luar Israel, Oren Marmorstein, berkata tindakan awal diambil berikutan jumlah kapal yang besar, risiko peningkatan ketegangan serta keperluan menghalang pelanggaran sekatan yang disifatkannya sebagai sah di sisi undang-undang antarabangsa.

Namun, Amnesty International mengecam tindakan itu sebagai satu “pencegahan terang-terangan.”

“Tindakan tentera laut Israel belayar ratusan batu ke laut semata-mata bagi menghalang bot awam yang membawa makanan, susu bayi dan bekalan perubatan daripada sampai kepada rakyat Palestin menunjukkan sejauh mana Israel bersedia pergi untuk mengekalkan sekatan kejam dan menyalahi undang-undang selama 19 tahun ke atas Gaza yang diduduki,” kata Setiausaha Agung Amnesty International, Erika Guevara Rosas, dalam satu kenyataan.

Israel mengawal semua pintu masuk ke Gaza dan dituduh oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta NGO antarabangsa menyekat kemasukan barangan, menyebabkan kekurangan bekalan sejak tercetusnya perang pada Oktober 2023.

Gaza, yang diperintah Hamas, berada di bawah sekatan Israel sejak 2007.

Konflik yang tercetus susulan serangan Hamas ke atas Israel itu telah mengakibatkan kekurangan teruk makanan, air, ubat-ubatan dan bahan api.

Satu gencatan senjata rapuh dicapai pada Oktober tahun lalu selepas hampir dua tahun konflik yang memusnahkan. - Agensi

Must Watch Video