Skip to main content

Dunia

Israel serang Iran: Pegawai sahkan operasi dilancar bersama AS

People watch as smoke rises on the skyline after an explosion in Tehran, Iran, Saturday, Feb. 28, 2026.(AP Photo)
Saksi di lokasi turut melihat asap tebal menjulang dari beberapa bahagian kota berkenaan. - Gambar/ AP

SERANGAN dilancarkan Israel ke Iran hari ini dilaksanakan dengan bantuan Amerika Syarikat (AS), kata seorang pegawai AS kepada Al Jazeera.

Katanya, serangan itu adalah operasi ketenteraan bersama antara Israel dan AS, yang sebelum ini menghimpunkan armada besar termasuk jet pejuang dan kapal perang di rantau itu untuk memberi tekanan supaya Iran mencapai persetujuan nuklear.

Advertisement

Bagaimanapun, belum ada pengesahan rasmi daripada pihak AS berhubung perkara ini.

Sementara itu, letupan kedengaran di pusat bandar Tehran selepas Israel mengumumkan serangan berkenaan.

Media Iran melaporkan beberapa peluru berpandu mengenai kawasan sekitar University Street dan Jomhouri Street, manakala saksi di lokasi turut melihat asap tebal menjulang dari beberapa bahagian kota berkenaan.

Menurut wartawan Al Jazeera di lapangan, asap kelihatan di kawasan kejadian tidak lama selepas dentuman kuat berlaku. Peluru berpandu itu turut dilaporkan menghampiri kawasan pejabat Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei.

Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz, sebelum ini berkata serangan itu adalah tindakan prapertahanan bagi “menghapuskan ancaman terhadap Negara Israel”, sambil menyatakan operasi berkenaan merupakan sebahagian usaha menghalang Iran daripada meningkatkan ancaman terhadap keselamatan wilayah.

Di pihak Iran, agensi berita Tasnim melaporkan letupan turut berlaku di kawasan utara Tehran, termasuk di daerah Seyyed Khandan, menandakan skala serangan yang lebih meluas.

Susulan serangan itu, siren kecemasan dibunyikan di Israel, manakala pihak tentera negara itu mengeluarkan “amaran proaktif” bagi memaklumkan orang ramai tentang kemungkinan serangan balas melalui peluru berpandu atau dron ke wilayah Israel.

Pihak Berkuasa Lapangan Terbang Israel turut mengumumkan penutupan ruang udara kepada semua penerbangan awam dan menasihatkan orang ramai supaya tidak menuju ke lapangan terbang sehingga keadaan kembali selamat.

Kedutaan AS di Qatar pula mengarahkan semua kakitangan berlindung di tempat masing‑masing, selain mengeluarkan nasihat agar warganya mengambil langkah keselamatan sama berikutan potensi risiko berantai susulan ketegangan meningkat.

Menurut pegawai pertahanan Israel yang dipetik Reuters, serangan ini dirancang beberapa bulan lebih awal, manakala tarikh pelancarannya telah ditetapkan beberapa minggu lalu, menunjukkan persediaan taktikal yang menyeluruh oleh Israel dan sekutunya. 

Must Watch Video