DUNIA
Israel terima cadangan gencatan senjata baharu AS dengan Hamas

Setiausaha Akhbar White House mengesahkan, “utusan khas Witkoff dan Presiden telah mengemukakan cadangan gencatan senjata kepada Hamas yang telah disokong oleh Israel” dan perbincangan masih diteruskan. - Gambar fail
TEL AVIV/WASHINGTON: Israel telah menerima cadangan baharu untuk gencatan senjata dengan Hamas yang dikemukakan oleh utusan khas Amerika Syarikat, Steve Witkoff, menurut seorang pegawai Israel.
Sementara itu, Hamas pada Khamis memaklumkan, mereka sedang "meneliti cadangan Witkoff yang baharu secara bertanggungjawab demi kepentingan rakyat kami, bagi memberi kelegaan dan mencapai gencatan senjata yang kekal."
Menurut pegawai Israel yang bercakap kepada CNN, cadangan tersebut melibatkan pembebasan 10 tebusan hidup dan 18 mayat tebusan, serta gencatan senjata selama 60 hari.
Bagaimanapun, tiada butiran diberikan mengenai rundingan ke arah penamatan perang secara kekal – satu tuntutan utama Hamas yang sehingga kini ditolak oleh Israel.Forum Keluarga Tebusan dan Orang Hilang Israel turut memaklumkan, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu telah memberitahu keluarga-keluarga tebusan bahawa beliau bersetuju dengan cadangan Witkoff.
Dalam sidang medianya pada Khamis, Setiausaha Akhbar White House, Karoline Leavitt mengesahkan “utusan khas Witkoff dan Presiden telah mengemukakan cadangan gencatan senjata kepada Hamas yang telah disokong oleh Israel” dan perbincangan masih diteruskan.
“Kami berharap satu gencatan senjata di Gaza dapat dilaksanakan bagi memastikan semua tebusan dapat dibawa pulang. Ini merupakan keutamaan pentadbiran ini sejak awal,” kata Leavitt.
Namun, tidak semua pihak di Israel bersetuju.
Menteri Kewangan dari blok sayap kanan, Bezalel Smotrich menyifatkan penerimaan cadangan itu sebagai tindakan “tidak masuk akal” dan menegaskan di media sosial beliau “tidak akan membenarkan perkara itu berlaku. Noktah.”
Sebaliknya, Ketua Pembangkang Israel, Yair Lapid menggesa Perdana Menteri Netanyahu agar menerima cadangan itu “secara terbuka dan serta-merta.”
Beliau juga menyatakan sokongan terhadap kerajaan sekiranya anggota sayap kanan menarik diri daripada pentadbiran.
Dalam perkembangan berkaitan, seorang pegawai AS memberitahu CNN, Witkoff tidak pernah bertemu secara langsung dengan Hamas.
Bagaimanapun, menurut sumber, seorang ahli perniagaan Palestin-Amerika, Bishara Bahbah, telah mengadakan pertemuan dengan Hamas di Doha bagi membincangkan cadangan tersebut.
Bahbah, yang sebelum ini mengetuai kumpulan “Arab Americans for Trump” semasa kempen Presiden 2024, kini bertindak mewakili pentadbiran Amerika dalam usaha rundingan ini. - Agensi

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami