DUNIA
Israel tidak mahu lihat rundingan nuklear Iran-AS berjaya - Araghchi

Menurut Araghchi (foto), Israel telah bertindak menggagalkan proses diplomatik tersebut melalui tindakan ketenteraan yang disifatkan sebagai agresif dan melampaui batas. -Gambar fail/AP
TEHRAN: Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi menegaskan bahawa Israel secara terang-terangan menentang sebarang kemajuan diplomatik antara Tehran dan Washington, termasuk usaha untuk mencapai perjanjian nuklear baharu.
Ringkasan AI
- Iran menegaskan pendirian untuk tidak memiliki senjata nuklear dan menyatakan haknya untuk meneruskan program nuklear bagi tujuan aman.
- Rundingan nuklear antara Iran dan Amerika Syarikat dibatalkan susulan serangan udara Israel ke atas kemudahan strategik Iran.
- Iran menuduh Israel sengaja menggagalkan usaha diplomatik dengan Amerika melalui tindakan ketenteraan yang agresif dan melampaui batas.
"Namun, mereka yang mahu menafikan hak Iran untuk memiliki program nuklear bagi tujuan aman, tidak mempunyai hak untuk berbuat demikian,” katanya seperti dilaporkan oleh beberapa agensi berita antarabangsa.
Beliau turut mendedahkan bahawa rundingan pusingan keenam antara Iran dan Amerika Syarikat yang dijadualkan berlangsung di Oman pada Ahad telah dibatalkan susulan serangan udara Israel ke atas beberapa kemudahan strategik di Iran.
“Dalam pusingan rundingan sebelum ini, pihak Amerika mengemukakan beberapa cadangan yang tidak sepenuhnya dapat diterima oleh kami.
"Kami telah memberikan maklum balas dan pandangan balas, dan sepatutnya membentangkan cadangan balas yang boleh membuka jalan ke arah perjanjian menyeluruh,” katanya.
Menurut Araghchi, Israel telah bertindak menggagalkan proses diplomatik tersebut melalui tindakan ketenteraan yang disifatkan sebagai agresif dan melampaui batas.
“Ini adalah perkara yang amat jelas. Entiti Zionis tidak mahu melihat kami mencapai penyelesaian diplomatik dengan Amerika Syarikat,” katanya sambil menegaskan bahawa Iran bersedia memberikan jaminan sewajarnya kepada Washington sekiranya rundingan diteruskan.
Ketegangan antara kedua-dua negara terus memuncak selepas Israel melancarkan siri serangan udara ke atas kemudahan nuklear dan ketenteraan Iran sejak Jumaat lalu, yang mengorbankan puluhan nyawa termasuk pegawai kanan tentera dan saintis nuklear Iran.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami