LONDON: Lapangan Terbang Heathrow berkata keperluan untuk memperluas kapasiti kini semakin jelas selepas kehilangan kedudukannya sebagai lapangan terbang tersibuk di Eropah kepada Istanbul, lapor PA Media/dpa.
Data yang diterbitkan lapangan terbang di barat London itu menunjukkan 7.86 juta penumpang melalui empat terminalnya pada Julai, berbanding 8.15 juta penumpang di Lapangan Terbang Istanbul dalam tempoh sama.
Data tahunan Airports Council International menunjukkan Heathrow merupakan lapangan terbang tersibuk di Eropah dari 1996 hingga 2019.
Heathrow kehilangan kedudukan itu pada 2020 susulan sekatan perjalanan ketika pandemik COVID-19 sebelum kembali menduduki tempat teratas pada 2023.
Jumlah penumpang Heathrow pada Julai susut 1.5 peratus berbanding bulan sama tahun lepas, manakala Istanbul mencatat peningkatan 2.3 peratus.
Konflik Amerika Syarikat (AS)-Iran turut menjejaskan trafik penumpang Heathrow, dengan jumlah penumpang bagi laluan Asia Barat pada Julai merosot 20.2 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.
Bagaimanapun, dua landasan Heathrow terus beroperasi hampir pada kapasiti penuh dan pihak lapangan terbang sedang mendapatkan kelulusan kerajaan United Kingdom (UK) untuk membina landasan ketiga.
Cadangan peluasan oleh pemilik lapangan terbang itu dijangka membolehkan Heathrow mengendalikan sehingga 150 juta penumpang setahun.
Heathrow merekodkan 84.46 juta penumpang pada 2025.
“Heathrow beroperasi pada kapasiti penuh.
“Keperluan untuk memperluas kapasiti tidak pernah sejelas ini selepas Heathrow dipintas Lapangan Terbang Istanbul pada Julai sebagai hab tersibuk di Eropah.
“Rancangan kami akan memastikan negara mempunyai infrastruktur yang diperlukan untuk kekal berdaya saing dan merangsang pertumbuhan ekonomi,” menurut Heathrow dalam kenyataan.
Bekas Canselor Rachel Reeves ketika itu berkata beliau berazam memastikan pembinaan landasan ketiga dimulakan dalam penggal Parlimen UK semasa dan disiapkan menjelang 2035.
Perdana Menteri Andy Burnham, yang memecat Reeves, sebelum ini menyuarakan kebimbangan mengenai peluasan Heathrow dengan berkata rancangan itu akan mengalihkan pelaburan infrastruktur daripada wilayah utara dan menumpukannya di London.
Heathrow berkata 19 Julai merupakan hari paling sibuk setakat tahun ini selepas banyak sekolah mula bercuti untuk musim panas, dengan 267,000 penumpang direkodkan.
Beberapa syarikat penerbangan baharu turut mula beroperasi di Heathrow bulan lepas, termasuk ITA Airways dari Itali, Alaska Airlines dari AS dan Riyadh Air dari Arab Saudi, yang menurut Heathrow menunjukkan permintaan kukuh untuk akses ke lapangan terbang itu.
Ketua Pegawai Eksekutif Heathrow Thomas Woldbye berkata musim panas bermula dengan baik, namun pihaknya mahu terus memperluas rangkaian laluan dan perkhidmatan kepada penumpang.
“Peluasan Heathrow akan membantu memastikan UK kekal menjadi lokasi hab utama Eropah serta terus meraih manfaat daripada perdagangan, pelaburan dan pelancongan hasil peningkatan keterhubungan,” katanya.
-- BERNAMA-PA MEDIA/dpa