ROM: Tiga negara Eropah, Itali, Sepanyol dan Greece, mengalami suhu panas terik selama beberapa hari sejak Jumaat lepas.

Antara lain, di sesetengah kawasan di negara terjejas, cuaca panas mengakibatkan hasil pertanian rosak manakala pelancong pula terpaksa berlindung daripada cuaca panas.

Di Itali misalnya, pihak berkuasa di negara itu mengeluarkan amaran cuaca panas kepada 'merah' iaitu tahap tertinggi membabitkan 16 bandar.

Pakar meteorologi memberi amaran, suhu akan mencecah ke paras tertinggi di seluruh selatan Eropah beberapa hari lagi.

Ketika ini, antisiklon baharu yang digelar Charon, masuk ke beberapa wilayah di Itali dari utara Afrika dan boleh menyebabkan suhu meningkat melebihi 45 darjah Celsius di beberapa bahagian Itali, awal minggu ini.

Perkhidmatan berita cuaca Itali, Metro.IT melaporkan, penduduk beberapa tempat di Itali perlu berdepan kemungkinan berlaku ribut panas melampau, yang hari demi hari akan menyelimuti seluruh negara.

Menurut Metro.IT lagi, di sesetengah tempat, rekod haba pada zaman purba akan dipecahkan.

Menurut ahli meteorologi, suhu tertinggi yang direkodkan di Eropah iaitu 48.8 darjah Celsius di Sicily dua tahun lalu, boleh mencecah angka lebih tinggi sedikit masa lagi terutama di Pulau Sardinia.

Sementara itu, Menteri Kesihatan Itali, Orazio Schillaci, berkata pihak berkuasa sedang mengawasi Rom dan menggesa orang ramai supaya mengambil langkah berwaspada.

Menurutnya, berkunjung ke Colosseum ketika suhu 43 darjah Celsius tidak digalakkan, terutama untuk orang tua.

Jelas beliau, orang ramai perlu berada di rumah pada waktu yang merekodkan cuaca paling panas pada Ahad, iaitu sekitar 11 pagi dan 6 petang.

Selain ibu kota Itali, amaran kesihatan turut dikeluarkan dari pusat bandar Florence ke Palermo di Sicily dan Bari, di tenggara semenanjung.