Itali: Tentera dikerah pastikan rakyat patuhi perintah berkurung

Bernama
Mac 21, 2020 02:45 MYT
Tentera Itali berkawal di jalan-jalan sekitar daerah Lombardy susulan arahan 'lockdown' yang dikenakan akibat penularan COVID-19 di Milan, Itali, 20 Mac, 2020. REUTERS
Tentera akan memulakan rondaan di jalan-jalan di Itali untuk memastikan rakyat mematuhi perintah "lockdown", selepas angka korban akibat COVID-19 di negara ini melebihi jumlah kematian di China, lapor agensi berita Anadolu.
Pada Jumaat, Gabenor Lombardy, Attilio Fontana menerima bantuan pasukan tentera untuk dikerahkan di jalan-jalan di Milan, hab kewangan Itali, antara bandar paling teruk terjejas.
Kawasan lain, termasuk selatan Campania, Puglia dan Sicily.
Menteri Pertahanan Itali Lorenzo Guerini berkata kira-kira 20,000 askar ditugaskan untuk menjalankan rondaan, di Milan sahaja, 114 unit tentera ditempatkan.
Hospital dan klinik di Itali dilimpahi dengan ribuan pesakit menyaksikan unit rawatan rapi tidak mampu lagi mengendalikan pesakit yang terlalu ramai.
Awal minggu ini, di bandar Bergamo - ekoran jumlah kematian semakin meningkat pihak berkuasa dan gereja tidak mempunyai ruang yang cukup untuk mengebumikan mayat.
Jumlah kematian pada Khamis melebihi 3,400, mengatasi China - tempat virus itu mula dikesan. Di Lombardy sahaja seramai 2,168 mangsa.
-- BERNAMA
#bantuan #China #COVID-19 #Hospital #Itali #kebumi #kematian #klinik #koronavirus #lockdown #Lombardy #mayat #Milan #perintah berkurung #ronda #tentera #unit rawatan rapi