NEW YORK: Bekas isteri kepada mantan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, Ivana Trump meninggal dunia akibat kecederaan yang dialaminya selepas terjatuh dari tangga.

Menurut jurucakap Pejabat Polis New York, hasil bedah siasat mendapati mendiang meninggal dunia akibat hentakan objek tumpul di bahagian badan.

Katanya, Ivana Trump ditemui mati di bahagian tangga rumahnya pada Khamis dan siasatan awal mendapati tiada perbuatan khianat.

"Pemeriksa perubatan mengesahkan punca kematian adalah akibat kecederaan parah di bahagian badan. Dengan laporan ini, pejabat ini tidak akan memberikan kenyataan lanjut berkaitan siasatan," menurut Pejabat Ketua Pemeriksaan Perubatan (OCME) di New York dalam satu kenyataan.

Hasil perkahwinan dari 1977 hingga 1992, pasangan berkenaan dikurniakan tiga anak, Donald Jr, Ivanka dan Eric.

BACA: Ivana Trump, isteri pertama Donald Trump meninggal dunia

Ivana memainkan peranan besar membantu Donald Trump membina empayarnya, termasuk pembinaan beberapa bangunan ikonik seperti Trump Tower.