Jambatan baharu dirasmikan perkukuh hubungan perdagangan Laos-Thailand-Vietnam

Majlis perasmian Jambatan Persahabatan Laos-Thailand kelima pada 26 Dis dihadiri Thongloun Sisoulith bersama isteri, serta Raja Thailand Maha Vajiralongkorn Phra Vajiraklaochaoyuhua dan Ratu. - Foto PR Thai Government
VIENTIANE: Jambatan Persahabatan Laos-Thailand kelima yang merentasi Sungai Mekong dirasmikan pada 26 Dis, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA).
Ringkasan AI
- Jambatan Persahabatan Laos-Thailand kelima merentasi Sungai Mekong dirasmikan pada 26 Disember, menggalakkan perdagangan di subwilayah Mekong.
- Perasmian dihadiri oleh pemimpin Laos, Thailand, dan Raja Thailand, menegaskan kerjasama erat antara kedua negara.
- Jambatan sepanjang 1,350 meter itu memendekkan jarak perjalanan antara Thailand, Laos, dan Vietnam, memberi kesan positif kepada ekonomi dan perdagangan di wilayah tersebut.
Dalam ucapannya, Perdana Menteri Laos Sonexay Siphandone dan Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul menegaskan bahawa projek itu mencerminkan kerjasama erat antara kedua-dua kerajaan serta aspirasi rakyat masing-masing, khususnya di wilayah Bolikhamxay (Laos) dan Buengkan (Thailand).
Jambatan berkenaan membantu menghubungkan Laos dengan rantau ini melalui Koridor Ekonomi Timur-Barat, sekali gus memudahkan pergerakan pengangkutan, perdagangan dan pelancongan serta membawa manfaat nyata kepada kedua-dua negara.
Jambatan sepanjang 1,350 meter itu secara ketara memendekkan jarak perjalanan dari Buengkan di timur laut Thailand, melalui Bolikhamxay di tengah Laos, ke pintu sempadan Cau Treo di wilayah Ha Tinh, Vietnam, kepada hanya kira-kira 200 kilometer berbanding lebih 350 kilometer sebelum ini, sekali gus mewujudkan laluan paling singkat dan mudah bagi pengangkutan barangan dari Thailand ke Vietnam.
Projek ini dijangka membuka peluang baharu bagi pembangunan ekonomi, perdagangan, pelaburan dan pelancongan untuk dua wilayah sempadan Bolikhamxay dan Buengkan, serta subwilayah Mekong Raya (GMS) yang turut merangkumi Vietnam, Kemboja, Myanmar serta wilayah Yunnan dan Guangxi di China.
Jambatan kelima ini meneruskan siri kerjasama pengangkutan antara Laos dan Thailand selepas empat Jambatan Persahabatan yang telah beroperasi, dan dijangka dapat memperkukuh lagi hubungan persahabatan tradisional serta kerjasama menyeluruh antara kedua-dua negara, di samping meningkatkan ketersambungan dengan Vietnam, sekali gus menyumbang kepada pembentukan subwilayah Mekong yang lebih dinamik dan bersepadu.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


