DUNIA
“Jangan biarkan Tehran yang indah jadi seperti Gaza” - Rakyat Iran

Foto individu yang terkorban dalam serangan Israel ke atas Iran dipamerkan di tepi jalan di Tehran, Iran. - Foto REUTERS
TEHRAN: Ketegangan yang memuncak antara Iran dan Israel telah mencetuskan suasana panik dan ketidakpastian dalam kalangan penduduk Tehran, yang kini berdepan serangan udara tanpa amaran serta kerosakan meluas di ibu negara.
Penduduk melaporkan barisan panjang di stesen minyak dan kedai roti, serta kesesakan lalu lintas apabila ribuan cuba meninggalkan bandar.
“Kami tidak tidur selama beberapa malam,” kata seorang pelajar muzik berusia 21 tahun kepada BBC melalui aplikasi media sosial.
“Saya tidak mahu Tehran yang indah ini menjadi seperti Gaza.”Ramai rakyat Iran kini berasa terperangkap antara rejim yang mereka tidak sokong dan kuasa ketenteraan Israel yang mereka saksikan menghancurkan Gaza dari jauh.
Lebih 220 orang dilaporkan terbunuh di Iran sejak serangan bermula Jumaat lalu, menurut pihak berkuasa Iran.
Dalam tempoh yang sama, sekurang-kurangnya 24 orang maut di Israel akibat serangan balas peluru berpandu Iran.
Tidak seperti di Israel, Iran tidak mempunyai sistem amaran awal atau tempat perlindungan awam yang mencukupi.
“Kami hanya dengar letupan dan berharap kawasan kami tidak terkena,” kata seorang penduduk.
Ada yang kini berlindung di stesen metro atau masjid, manakala yang lain berpindah ke kawasan tanpa bangunan kerajaan.
Kenyataan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, yang menyeru rakyat Iran bangkit menentang kepimpinan ulama turut mencetuskan reaksi bercampur.
“Kami tidak mahu diselamatkan oleh Israel. Tiada negara asing pernah benar-benar peduli tentang Iran,” kata seorang wanita muda.
Dalam suasana yang semakin tegang, rakyat Iran terus bergelut dengan dilema moral, ketakutan harian, dan ketidakpastian masa depan.
Seperti yang digambarkan oleh seorang penduduk: “Kami hanya mahu bertahan. Ini bukan perang kami.”

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami