PASUKAN polis Singapura memberi amaran supaya tidak menyalahgunakan pas masuk (boarding pass) ketika berada di Lapangan Terbang Changi untuk bertemu rakan-rakan atau selebriti.

Menerusi satu kenyataan yang dimuatnaik di laman Facebook mereka, pasukan polis Singapura berkata terdapat sembilan kes penyalahgunaan pas masuk di Lapangan Terbang Changi.

“13 orang telah ditahan berkaitan kesalahan ini di bawah Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan,” kata kenyataan itu.

Pihak berkuasa itu turut mengingatkan orang ramai bahawa penumpang yang masuk ke dewan transit dengan pas masuk berada di situ dengan tujuan untuk ke destinasi seterusnya.

“Mereka yang menyalahgunakan pas masuk mereka untuk memasuki kawasan transit untuk bertemu rakan-rakan dan atau selebriti, tanpa niat untuk meneruskan ke destinasi seterusnya, boleh didapati bersalah di bawah Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan,” kata kenyataan itu.

Pesalah boleh didakwa di Mahkamah dan boleh dikenakan denda sehingga $1,000 (RM3083.57) atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun, atau kedua-duanya.

Sementara itu, netizen Singapura menyifatkan kenyataan yang dimuatnaik oleh pihak polis Singapura sebagai 'menarik', serta tidak menyangka ada peminat yang sanggup berbuat demikian.

“Mesti peminat yang terdesak. Beberapa tahun akan datang kita akan ketawakan perkara lucu yang sanggup kita buat untuk idola kita,” kongsi Kris Chee.

Suze Shon Ng pula bertanyakan bagaimana mereka boleh mempunyai pas masuk.

“Itu lebih penting dari segi keselamatan,” tulis beliau.

Ged Yong pula tidak nampak logik dalam isu ini.

“Pas masuk adalah sah, passport sah dan mereka tidak mempunyai sekatan perjalanan. Beliau melalui imigresen. Apa yang salah? Mereka tidak mahu menaiki pesawat… tidak salah juga. Bukannya mereka memasuki kawasan trasit tanpa pasport yang sah,” kata Ged.

Setakat ini, kenyataan itu menerima 444 Likes dan 158 Shares.