PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) mengingatkan semua negara agar tidak terlalu melonggarkan rentas sempadan antarabangsa kerana risiko penularan COVID-19 masih ada, dan menegaskan strategi ‘risiko sifar’ tidak wujud, lapor Reuters.

Dalam kemas kini dikeluarkan agensi itu mengenai panduan perjalanan antarabangsa, WHO menggalakkan hanya perjalanan rentas sempadan yang penting seperti dalam keadaan darurat, kerja kemanusiaan dan pemindahan barangan penting dibenarkan.

“Tiada risiko sifar apabila mengambil kira kemungkinan berlakunya pengimportan dan pengeksportan kes dalam konteks perjalanan antarabangsa,” kata agensi itu dalam laman webnya pada Khamis.

Pertambahan jangkitan baharu di banyak negara telah mendorong beberapa negara untuk memperkenalkan semula larangan perjalanan termasuk menguji dan kuarantin penumpang yang masuk ke negara berkenaan.

Pada Jun lepas, WHO berkata akan mengemas kini panduan perjalanan dalam masa terdekat dan menyatakan panduan itu boleh digunakan kerajaan sesebuah negara untuk membentuk polisi mereka.

Panduan perjalanan itu dilihat sedikit berbeza berbanding sebelum ini yang turut memasukkan nasihat kawalan jangkitan selain yang mengekalkan panduan sedia ada sebelum ini seperti penjarakan sosial, pemakaian pelitup muka dan kerap mencuci tangan.

Dalam pada itu, WHO menggesa setiap negara membuat analisis terlebih dahulu sebelum membuat keputusan untuk menarik balik larangan rentas sempadan antarabangsa.

Tegasnya, pihak berkuasa negara berkaitan perlu mengambil kira corak penularan virus dalam negara selain memastikan langkah penjarakan fizikal sudah dipraktikkan sebaiknya dalam negara itu.

Katanya lagi, negara yang memutuskan untuk kuarantin semua pengembara dari luar negara harus terus melakukannya selepas mengkaji risiko dan kesan yang boleh menjejaskan penduduk tempatan.

“Negara seharusnya terus merancang dan menilai keupayaan mereka untuk menguji, mengesan, mengasingkan dan menguruskan kes yang diimport,” ujarnya.

Minggu ini, WHO berkata larangan perjalanan antarabangsa tidak boleh selamanya dilakukan dan negara-negara harus sentiasa berusaha untuk mengurangkan penularan COVID-19, terutamanya melibatkan kes import.