MEKAH: Jemaah haji diingatkan supaya mengaktifkan transaksi luar negara pada kad debit masing-masing sebelum berangkat ke Tanah Suci.

Ini kerana 55 peratus daripada aduan kes di Pusat Operasi Kewangan Tabung Haji adalah melibatkan pengaktifan transaksi.

Sebaik melangkah ke Tanah Suci sama ada di Madinah mahupun Mekah, antara kebimbangan jemaah haji adalah pertukaran wang daripada ringgit kepada riyal.

Menurut Pengarah Operasi Kewangan, Shamsul Bahar Shamsuddin, bagaimanapun seperti yang dianjur Tabung Haji (TH), jemaah digalakkan mempunyai akaun Bank Islam Malaysia Berhad yang menyediakan khidmat pengeluaran tunai tanpa caj transaksi.

“Pihak Tabung Haji juga telah mendapatkan beberapa unit mesin ATM yang ada di Abraj, Land Premium juga di Tayseer juga di Rehad Jenadriyah.

“Ini untuk kemudahan para jemaah mengeluarkan wang sepanjang mereka berada di Tanah suci selain daripada itu mereka juga boleh mengeluarkan wang menggunakan mesin-mesin ATM yang terdapat di sekitar Mekah dan Madinah yang membawa logo Visa,” katanya.



Sekiranya jemaah berdepan masalah, boleh ke kaunter Pusat Operasi Kewangan untuk mendapatkan bantuan.

Sehingga 8 Mei, TH menerima 374 aduan dan 55 peratus daripadanya adalah kegagalan mengaktifkan transaksi luar negara, manakala 15 kes kehilangan kad ATM.

“Kes kehilangan tak banyak sangat sebenarnya, secara purata antara 5 hingga 10 peratus sahaja, kes yang paling banyak ialah pengaktifan,” katanya.

Bagi yang kehilangan kad, TH melalui Bank Islam akan melakukan penggantian kad sebaik jemaah membuat laporan.