Sekurang-kurangnya 11 maut ditembak dan 12 lagi cedera dalam serangan di kuil Yahudi di Pittsburgh ketika upacara keagamaan Sabbath berlangsung pada Sabtu.

Menurut pihak berkuasa dan laporan media tempatan, suspek telah ditangkap dan kejadian disyaki bermotifkan jenayah kebencian.

Stesen televisyen melaporkan, suspek menjerit melaungkan kata-kata benci kepada Yahudi.

Suspek turut melepaskan tembakan ke arah pegawai yang bergegas ke tempat kejadian menyebabkan tiga daripada mereka cedera.

Gabenor Pennsylvania Tom Wolf yang berada di lokasi kejadian dalam tweet-nya menyebut, pihaknya menawarkan sebarang bentuk bantuan yang diperlukan mangsa.


Orang ramai berkumpul meratapi kematian mangsa kejadian kes tembak di sebuah kuil Yahudi di Pittsburgh, Pennsylvania, 27 Okt, 2018. REUTERS


Pusat Perubatan Universiti Pittsburgh (UPMC) berkata, ia merawat ramai pesakit di UPMC Presbyterian.

Kuil itu menganjurkan upacara keagamaan Sabbath yang bermula jam 9.45 pagi waktu tempatan.

Sejurus selepas laporan tembakan itu disiarkan, Presiden Donald Trump berkata beliau melihat apa yang digambarkan di lokasi sebagai sesuatu yang dahsyat.

"Negara ini dan dunia terkejut dengan insiden tembakan ini. Ia adalah tindakan anti-Semitik. Anda tidak mungkin terfikir perkara ini boleh terjadi pada era ini. Tetapi, kita seolah-olah tidak belajar daripada kejadian masa lalu.

"Akal kita tidak dapat menerima kebencian dan niat jahat di sebalik kejadian ini yang boleh menyebabkan seseorang bertindak sedemikian rupa dalam satu upacara penamaan bayi. Ia merupakan upacara penamaan bayi di rumah ibadat yang suci, pada hari yang suci," katanya.