TOKYO: Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida pada Jumaat berkata beliau akan mengarahkan pegawai berkaitan dalam kerajaannya untuk melaksanakan langkah-langkah bagi memerangi inflasi kerana kenaikan harga sangat memberi kesan kepada syarikat dan pengguna, lapor Xinhua.

Di sebalik rombakan kabinet baru-baru ini yang dilakukan di tengah-tengah penurunan sokongan orang ramai, Kishida berkata kenaikan harga tenaga dan barangan makanan, khususnya, memberi "impak besar" kepada syarikat dan pengguna.

Pemimpin Jepun itu berkata langkah-langkah baharu untuk mengurangkan inflasi akan menjadi keutamaan bagi kabinet baharunya.

Beliau memberitahu mesyuarat kerajaan bahawa pegawai-pegawainya akan diarahkan pada Isnin untuk melaksanakan langkah-langkah perlu bagi menangani kenaikan harga tenaga, bahan mentah dan bijirin.

Jepun belum mencapai inflasi seteruk Amerika Syarikat atau beberapa negara Eropah dan beberapa syarikat di negara itu berusaha mengelak daripada menyalurkan kenaikan kos kepada pengguna mereka di tengah-tengah permintaan yang berkurangan.

Ia dilakukan dengan syarikat menyerap kos yang lebih tinggi itu sendiri atau melalui subsidi kerajaan, tetapi pakar ekonomi mengatakan kedua-dua cara itu tidak dapat dikekalkan selama-lamanya dan pengguna sudah pun berhadapan dengan kenaikan kos untuk barangan harian.

Bagaimanapun, Kishida berkata susulan rombakan kabinetnya pada Rabu, dana rizab sebanyak 5.5 trilion yen (US$41 bilion) boleh diakses dan disasarkan untuk langkah-langkah menangani kesan buruk berterusan daripada pandemik COVID-19 dan peningkatan inflasi.

-- BERNAMA