DUNIA
Jepun, EU perkukuh hubungan keselamatan dan rantaian bekalan

Jepun dan EU menekankan tekad untuk mengekalkan satu sistem ekonomi bebas dan adil yang stabil, boleh diramal dan berasaskan peraturan.
ISTANBUL: Jepun dan Kesatuan Eropah (EU) pada Rabu berikrar untuk memperdalam perkongsian strategik mereka dengan memperkukuh kerjasama pertahanan, memastikan keselamatan rantaian bekalan dan memperteguh komitmen terhadap sistem global berasaskan peraturan.
Ikrar itu dinyatakan dalam satu kenyataan bersama selepas sidang kemuncak di Tokyo antara Perdana Menteri Jepun Shigeru Ishiba, Presiden Majlis Eropah Antonio Costa dan Presiden Suruhanjaya Eropah Ursula von der Leyen, lapor Anadolu Ajansi (AA).
"Keselamatan Eropah dan Indo-Pasifik saling berkait," kata kedua-dua pihak, sambil bersetuju untuk memperluas kerjasama dalam keselamatan dan pertahanan serta meningkatkan keupayaan untuk menangani cabaran bersama.
Jepun dan EU turut menekankan tekad mereka untuk mengekalkan "satu sistem ekonomi bebas dan adil yang stabil, boleh diramal dan berasaskan peraturan," di tengah-tengah kebimbangan yang semakin meningkat terhadap tarif sepihak yang dikenakan oleh Presiden Amerika Syarikat Donald Trump.Mereka berjanji untuk memperkukuh kerjasama dalam ketahanan rantaian bekalan dan mengurangkan kebergantungan strategik, termasuk mempelbagai rantaian bekalan mineral kritikal, serta menangani pemaksaan ekonomi dan amalan bukan pasaran.
Mengenai perubahan iklim, yang mereka anggap sebagai "ancaman wujud," kenyataan itu mengesahkan semula sokongan terhadap Perjanjian Paris dan menggesa satu peralihan hijau yang adil dan inklusif.
Kedua-dua pihak turut menyatakan "kebimbangan serius" terhadap ketegangan di Laut China Timur dan Laut China Selatan, serta menolak "sebarang cubaan sebelah pihak untuk mengubah status quo melalui kekerasan atau paksaan."
Mereka juga mengulangi "kecaman tegas terhadap pencerobohan Rusia ke atas Ukraine," yang digambarkan sebagai satu pelanggaran jelas terhadap undang-undang antarabangsa dan Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Menurut data EU, perdagangan dua hala barangan antara blok itu dan Jepun berjumlah EUR130.7 bilion (AS$137.9 bilion) pada 2024.
Hubungan rasmi antara kedua-dua pihak bermula pada 1959 apabila duta Jepun ke Belgium menjadi wakil pertama negara itu ke Komuniti Eropah, pendahulu kepada EU.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami