KUALA LUMPUR: Jepun memberi jaminan bahawa pelepasan air terawat dari loji janakuasa nuklear yang telah musnah, Fukushima Daiichi, pada tahun ini adalah selamat, dan dijamin tidak akan memberi kesan kepada Malaysia.

"Air terawat yang dilepaskan ke laut akan dihadkan kepada kawasan dalam lingkungan tiga kilometer dari stesen janakuasa itu berdasarkan simulasi," kata seorang pegawai Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri Jepun, hari ini.

"Oleh itu, ia tidak memberi sebarang kesan kepada Malaysia," kata pegawai yang bertanggungjawab mengenai perkara berkenaan dalam satu kenyataan yang disampaikan kepada Bernama.

Pada 11 Mac 2011, yakni tepat 12 tahun lepas, bencana gempa bumi kuat dan tsunami berukuran 9.0 magnitud telah mengorbankan 15,900 nyawa, manakala lebih 2,500 orang masih hilang sehingga kini, dan ia turut mencetuskan malapetaka nuklear di loji Fukushima.

Jepun telah mengambil semua langkah berjaga-jaga yang perlu sebelum membuat rancangan untuk melepaskan air terawat, seperti yang dibuktikan oleh kemajuan Fukushima dalam soal keselamatan dan pembangunan semula sejak kejadian 12 tahun lepas itu.

Di loji berkenaan, air mengandungi bahan radioaktif yang ditulenkan dan dirawat untuk memenuhi piawaian pengawalseliaan untuk bahan radioaktif kecuali untuk tritium, dipanggil "Air terawat ALPS".

Air yang disimpan dan dirawat dengan teknologi serta peralatan "ALPS" itu akan mengeluarkan radionuklid dengan pengecualian tritium.

Masa pelepasan air terawat ALPS ke laut dijangka bermula dari musim bunga hingga musim panas tahun ini selepas kerja pembinaan disiapkan, pemeriksaan pra perkhidmatan Pihak Berkuasa Peraturan Nuklear, dan laporan penuh IAEA.

Sejak tsunami, Jepun telah menyahtauliah dan menyahcemar stesen janakuasa nuklear yang dijangka mengambil masa 30 hingga 40 tahun.

Satu langkah besar ke arah penyahaktifan loji nuklear ialah penghapusan keperluan untuk pakaian pelindung di 96 peratus kawasan tapak loji berkenaan.

Menurutnya berdasarkan simulasi resapan air terawat ke dalam laut, didapati kawasan yang mempunyai kepekatan tritium lebih tinggi daripada paras semasa dalam air laut akan dihadkan kepada kawasan dalam lingkungan tiga kilometer dari stesen janakuasa.

"Oleh itu, ia tidak memberi kesan kepada Malaysia," kata pegawai itu, sambil menambah kerajaan Jepun mengambil semua langkah yang mungkin untuk memastikan keselamatan melepaskan air yang dirawat ALPS ke laut.

Berdasarkan keputusan penilaian kesan alam sekitar radiologi mengenai pelepasan air yang dirawat ALPS ke laut, impak kepada orang ramai dan alam sekitar juga adalah minimum.

Penilaian ini turut mengambil kira kepekatan biologi dan kesan jangka panjang.

Gerry Thomas, Profesor Patologi Molekul, Jabatan Pembedahan dan Kanser, Imperial College London, dilaporkan berkata Tritium ialah sejenis hidrogen yang bersifat radioaktif tetapi jenis sinaran yang dibebaskan daripada tritium adalah sangat lemah.

"Ia berlaku dalam jumlah kecil di alam semula jadi dan juga boleh didapati dalam kuantiti yang kecil dalam air minuman. Jika anda minum air yang mengandungi tritium, ia akan menghasilkan dos radiasi yang sangat kecil kepada tisu dalam badan anda," menurutnya.

Katanya dengan melepaskan tritium dari tapak Fukushima ke lautan, bermakna ia akan menjadi cepat cair dan itu bermakna kesan terhadap kesihatan tidak lagi menjadi isu, is seumpama tinggal di bandar, minum alkohol atau berat badan berlebihan.

Menurut laporan berita, walaupun terdapat kebimbangan mengenai pencemaran oleh nelayan yang tinggal di perairan berhampiran Fukushima, didapati tiada satu pun spesies ikan dilihat mempunyai sebarang kesan radioaktiviti dalam kalangan 63 spesies yang diuji, yang bermakna semuanya selamat.

Amerika Syarikat juga telah mengumumkan bahawa membuang air yang dirawat ALPS ke laut tidak akan memberi kesan ke atas keselamatan makanan yang diimport dari Jepun.

Kedutaan Jepun di Malaysia telah menyatakan bahawa kerajaannya sentiasa berusaha untuk memastikan keselamatan dan menyebarkan maklumat secara telus kepada masyarakat antarabangsa.

-- BERNAMA