Skip to main content

Dunia

Jepun kecam serangan Houthi ke atas Arab Saudi, gesa redakan ketegangan

Toshimitsu Motegi Menteri Luar Jepun. - Gambar fail/REUTERS
Toshimitsu Motegi Menteri Luar Jepun. - Gambar fail/REUTERS

Advertisement

TOKYO: Jepun pada Ahad mengecam serangan Houthi ke atas Arab Saudi dan menggesa kumpulan dari Yaman itu segera menghentikan tindakan yang memburukkan lagi keadaan, kata Menteri Luar Toshimitsu Motegi, lapor Kyodo News.

Memandangkan keamanan dan kestabilan di Asia Barat amat penting bagi dunia serta keselamatan tenaga Jepun, Tokyo akan melakukan "segala usaha diplomatik" bersama negara seperti Arab Saudi dan Yaman bagi meredakan ketegangan serta menstabilkan keadaan secepat mungkin.

"Serangan terhadap orang awam dan kemudahan awam sama sekali tidak boleh diterima, dan Jepun sekali lagi mengecam sekeras-kerasnya siri serangan yang dilakukan oleh kumpulan Houthi," kata Motegi dalam satu kenyataan.

Arab Saudi berdepan beberapa serangan oleh kumpulan Houthi yang disokong Iran sejak beberapa hari kebelakangan ini. Lebih 10 orang terkorban dan 300 yang lain cedera selepas satu misil mengenai Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid di Riyadh pada Sabtu.

Konflik itu menimbulkan kebimbangan mengenai gangguan bekalan serta kesan negatif terhadap Jepun akibat lonjakan harga tenaga, memandangkan negara yang kekurangan sumber asli itu sangat bergantung kepada Asia Barat bagi bekalan minyak mentah.

-- BERNAMA-KYODO

 

 

Must Watch Video

Advertisement