GEN bagi virus demam babi Afrika (ASF) baru-baru ini disahkan hasil daripada satu ujian gen ke atas sosej babi yang dibawa secara haram ke Jepun oleh seorang penumpang dari Filipina.

Menurut kenyataan, ujian tersebut telah dijalankan oleh Perkhidmatan Kuarantin Haiwan (AQS), Kementerian Pertanian, Perhutanan dan Perikanan Jepun.

Virus hidup juga diasingkan daripada produk itu hasil daripada pengasingan virus yang dilakukan oleh Institut Kebangsaan bagi Kesihatan Haiwan, Pertubuhan Penyelidikan Pertanian dan Makanan Kebangsaan.

Setelah seekor anjing pengesan kuarantin di lapangan terbang Haneda menemui produk daging tersebut, AQS telah melupuskannya sebagai produk import yang terlarang dan sebahagiannya dihantar untuk diuji.

AQS telah menjalankan ujian bagi gen virus ASF itu pada produk babi yang dibawa secara haram oleh penumpang antarabangsa sejak Ogos 2018 dan ini adalah kes ke-89 yang didapati positif gen ASF dan merupakan kes ketiga bahawa virus ASF yang berjangkit telah diasingkan.

Produk haiwan termasuk ham, bakon, jerki, sosej dan produk daging yang diproses adalah dilarang dibawa ke Jepun, tanpa mengira kuantiti, selari dengan Akta Kawalan Penyakit Berjangkit Haiwan Domestik.

AQS akan terus memperketat pemeriksaan import bagi produk haiwan untuk mencegah kemasukan ASF melalui penumpang dan bungkusan antarabangsa dengan menggunakan anjing pengesan kuarantin di lapangan terbang antarabangsa dan pejabat-pejabat pos.

Pesalah boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun atau denda sehingga 3 juta yen (100 yen = RM3.970) manakala syarikat akan didenda sehingga 50 juta yen.

Penumpang dengan produk haiwan haram juga boleh dilarang daripada memasuki Jepun.

-- BERNAMA