KUALA LUMPUR: Kerajaan Jepun komited untuk terus menjelaskan kepada masyarakat antarabangsa, termasuk negara-negara Asia Tenggara (SEA), tentang aspek keselamatan rancangan melepaskan air radioaktif terawat dari loji kuasa nuklear Fukushima Daiichi ke Lautan Pasifik.

Walaupun rancangan Jepun untuk membuang air sisa radioaktif terawat di bawah Sistem Pemprosesan Cecair Lanjutan (ALPS) itu dikatakan selaras dengan piawaian keselamatan antarabangsa yang disahkan oleh Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), banyak negara-negara jiran Jepun, mengutarakan keraguan terhadap langkah ini.

Setiausaha Pertama kedutaan Jepun di Malaysia, Yosuke Kurotani, berkata dengan adanya laporan penilaian IAEA yang terkini, Jepun akan berusaha sepenuhnya untuk meredakan kebimbangan dengan menyalurkan maklumat yang diperlukan kepada lebih banyak negara jika perlu.

"Berdasarkan kesimpulan Laporan Komprehensif IAEA, kami akan terus memberikan maklumat yang diperlukan kepada masyarakat antarabangsa secara terbuka dan juga berusaha meningkatkan pemahaman masyarakat antarabangsa tentang pelepasan air terawat ALPS," katanya dalam temu bual eksklusif dengan Bernama baru-baru ini.

Kurotani berkata demikian ketika ditanya bagaimana pelepasan lebih daripada 1.33 juta meter padu air yang terkumpul di tapak itu sejak bencana nuklear 2011 akibat gempa bumi Tohoku yang didakwa menimbulkan kebimbangan dalam kalangan negara anggota SEA.

"Amerika Syarikat (AS) menyambut baik laporan IAEA dan menyatakan bahawa sejak insiden nuklear 2011, Jepun telah secara proaktif bekerjasama dengan IAEA mengenai rancangannya dan menjalankan proses yang telus dan berlandaskan sains.

"Mereka (AS) juga menantikan kerjasama berterusan dari Jepun bersama-sama IAEA seiring dengan prosesnya yang masih berjalan. Keyakinan yang ditunjukkan AS dan usaha Korea Selatan menjalankan kaji selidiknya sendiri dan (juga) mengumumkan bahawa usaha Jepun selaras dengan piawaian antarabangsa.

"Dengan terus memberikan penjelasan terperinci, kami ingin meningkatkan jumlah negara lain yang mahu memahami perkara ini. Kami sentiasa terbuka tentang hal ini dan mendedahkan semua maklumat yang relevan," katanya.

Terbaharu, Australia turut menyambut baik laporan IAEA yang telah melibatkan pakar-pakar dari AS, Korea Selatan, Rusia, Argentina, Australia, Kanada, China, Perancis, Kepulauan Marshall, United Kingdom, dan Vietnam.

Semasa pertemuan ASEAN Plus Tiga (ASEAN+3) yang berlangsung di Jakarta, Indonesia baru-baru ini, Menteri Luar Jepun, Yoshimasa Hayashi, menegaskan bahawa negaranya akan melakukan prosedur itu mengikut piawaian dan amalan antarabangsa.

Mengenai bagaimana stesen kuasa nuklear Fukushima Daiichi dilengkapi untuk menangani potensi risiko daripada pelepasan ini, Kurotani menekankan bahawa pelepasan air berdasarkan konsep 'fail-safe', iaitu ia akan dihentikan serta-merta andai berlaku sesuatu membimbangkan.

Stesen dibina berdasarkan prinsip bahawa kegagalan, kerosakan dan kesilapan berpotensi terjadi, serta menggabungkan kaedah kawalan dan prinsip pengendalian yang secara automatik menjamin keselamatan dalam situasi seperti itu.

Berkenaan dengan larangan import makanan laut yang mungkin dikenakan oleh negara-negara tertentu, dengan merujuk kepada kandungan Laporan Komprehensif IAEA, Kurotani berkata pelepasan air yang terawat dengan ALPS mempunyai kesan radiasi yang minimal terhadap manusia dan alam sekitar.

Pada 4 Julai, IAEA melaporkan bahawa rancangan Jepun untuk membuang air sisa radioaktif dari loji kuasa Fukushima Daiichi ke dalam laut "selaras dengan piawaian keselamatan antarabangsa."

Laporan itu diserahkan secara rasmi oleh Setiausaha Agung IAEA, Rafael Mariano Grossi, kepada Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida, di Tokyo semasa lawatan empat hari beliau ke Jepun.

Rata-rata akhbar Jepun melaporkan bahawa kerajaan Jepun dan Syarikat Tenaga Elektrik Tokyo (TEPCO), pengendali loji, bakal melaksanakan rancangan itu pada musim panas, iaitu sekitar Ogos.

-- BERNAMA