FCLB jadi tawaran istimewa ‘Festival Mega iLINDUNGu’, terima sambutan luar biasa majikan

Steven Sim berkata edisi pertama festival berkenaan yang berlangsung di Shah Alam selama tiga hari sebelum ini merekodkan tunggakan kutipan caruman lebih RM251,000 meliputi 466 majikan. - Gambar fail
PELUANG majikan melunaskan tunggakan caruman pekerja, dengan diberikan diskaun penalti dilihat terus menjadi antara tarikan di sebalik penganjuran Festival Mega iLINDUNGu.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim, berkata edisi pertama festival berkenaan yang berlangsung di Shah Alam selama tiga hari sebelum ini merekodkan tunggakan kutipan caruman lebih RM251,000 meliputi 466 majikan.
Katanya, kesedaran majikan untuk tampil menjelaskan tunggakan bayaran caruman pekerja, dengan merebut peluang yang ditawarkan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) adalah bersifat menang-menang.
“Semasa penganjuran festival penuh bermanfaat ini di Shah Alam, kita sebenarnya menerima 660 majikan yang layak diberikan tawaran diskaun Faedah Caruman Lewat Bayar (FCLB) sehingga 80 peratus.
“Jika mengikut perangkaan, jumlah keseluruhan FCLB bagi semua majikan ini adalah RM2.08 juta, namun selepas diberikan diskaun, bayaran yang perlu dijelaskan ialah sekitar RM416,000.
“Setakat ini, kita sudah berjaya kutip RM251,393.50 daripada 466 majikan manakala selebihnya dalam proses pembayaran mengikut tempoh yang diperuntukkan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas turun mengadakan jelajah mesra di Festival Mega iLINDUNGu, di Evoke, Bukit Mertajam, di sini yang berlangsung dari jam 10 pagi hingga 10 malam, selama tiga hari hingga esok.
Turut hadir, Pengerusi Lembaga PERKESO, Datuk Seri Subahan Kamal dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Datuk Seri Mohammed Azman Aziz Mohammed.
Susulan sambutan luar biasa sebelum ini, PERKESO meneruskan tawaran diskaun FCLB sehingga 80 peratus di Bukit Mertajam, selain khidmat semakan caruman, pendaftaran skim LINDUNG, kaunter nasihat, sesi temu duga, ceramah agama, saringan kesihatan, pertandingan e-Sport, persembahan budaya, aktiviti kanak-kanak, hiburan dan lain-lain.
Mengulas lanjut, Steven menegaskan bahawa objektif utama FCLB adalah memastikan caruman dijelaskan majikan tepat pada masanya, seterusnya menjamin perlindungan keselamatan sosial pekerja di bawah LINDUNG Pekerja.
Beliau berkata, kebiasaanya diskaun FCLB ditawarkan pada April setiap tahun dan kadangkala dilanjutkan sehingga Mei.
“Bagaimanapun, pelaksanaan khas semasa festival kali ini membuktikan komitmen Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) melalui PERKESO untuk memastikan tiada pekerja di Malaysia terpinggir dan tidak diLINDUNGi,” katanya.
Festival Mega iLINDUNGu @ Pulau Pinang menawarkan pelbagai aktiviti menarik termasuk Karnival LINDUNG Kerjaya MYFutureJobs yang menawarkan lebih 2,000 peluang pekerjaan daripada 20 majikan.
Beberapa personaliti popular seperti Bell Ngasri, Duo Elite (Azza dan Abby Abadi), Baby Nassuhada, Ashraf Muslim, Sharifah Shahirah, Odah, Kimberly Chuah, Daniel Fong, Satthiya Kandi serta suami, memeriahkan festival.
Manakala, acara santai dan hiburan pada setiap malam menampilkan artis antaranya Hyper Act, XPDC, Azza dan Abby Abadi, Ruffedge, UNIC serta Apex Tajuddin.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


