TOKYO: Jepun sedang mempertimbangkan untuk membangunkan peluru berpandu sehingga 3,000 kilometer (km), lapor Sputnik.

Keupayaan maksimum peluru berpandu Jepun sekarang kira-kira 100 km, menurut akhbar Jepun The Mainichi memetik sumber pada Jumaat.

Tokyo merancang untuk memajukan sistem peluru berpandu dengan meningkatkan keupayaannya sehingga 1,000 kilometer atau lebih sebagai sebahagian daripada usaha mengukuhkan kemampuan pertahanan negara.

Kerajaan juga sedang mempertimbangkan untuk membangunkan peluru berpandu baharu termasuk peluru berpandu hipersonik dengan jarak 2,000 hingga 3,000 km.

Pelancaran peluru berpandu itu merangkumi tiga peringkat, lapor The Mainichi.

Peringkat pertama, pelancaran peluru berpandu moden dengan jarak 1,000 kilometer ke atas Kepulauan Ryukyu (juga dikenali sebagai Kepulauan Nansei) sekitar 2026.

Untuk peringkat kedua, peluru berpandu dengan jarak 2,000 kilometer dilancarkan ke arah Pulau Honshu, manakala kawasan berhampiran Gunung Fuji akan menjadi tapak pelancaran.

Bagaimanapun, akhbar itu tidak menyatakan jangka masa bagi peringkat ini.

Peringkat ketiga termasuk pelancaran peluru berpandu dengan jarak 3,000 kilometer ke atas Pulau Hokkaido pada pertengahan 2030, menurut laporan itu.

Perdana Menteri Fumio Kishida berkata pada awal Oktober bahawa Tokyo akan mempertimbangkan setiap pilihan demi memastikan keselamatan rakyatnya termasuk kemungkinan melakukan serangan balas.

Pihak berkuasa Jepun perlu menyediakan tiga dokumen keselamatan yang dikemas kini menjelang akhir tahun 2022: Strategi Keselamatan Negara, Garis Panduan Program Pertahanan Negara dan Program Pertahanan Jangka Sederhana.

-- BERNAMA