INTERNATIONAL
Jepun sedia bersama ASEAN hulur bantuan kemanusiaan kepada Myanmar

Duta Besar Jepun ke Malaysia Noriyuki Shikata berkata Jepun berhasrat untuk membantu dan terlibat dalam usaha pemulihan semula Myanmar. - Bernama
KUALA LUMPUR: Jepun menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) bagi menyalurkan bantuan kemanusiaan segera kepada Myanmar, yang sedang berdepan krisis berlarutan dan diburukkan lagi oleh gempa bumi kuat yang melanda negara itu pada Mac lalu.
Duta Besar Jepun ke Malaysia Noriyuki Shikata berkata Jepun berhasrat untuk membantu dan terlibat dalam usaha pemulihan semula Myanmar.
"Situasi di Myanmar bertambah buruk akibat gempa bumi. Kami telah menghantar bantuan kemanusiaan dan berharap dapat turut serta dalam proses pemulihan semula negara itu.
"Tetapi pada masa ini, amat sukar untuk melaksanakan dan menyampaikan bantuan kemanusiaan dengan berkesan," katanya dalam temu bual program The Nation: Diplomatic Dispatch terbitan Bernama TV, pada Rabu.Menurut Pusat Penyelarasan ASEAN bagi Bantuan Kemanusiaan Mengenai Pengurusan Bencana (AHA Centre), gempa bumi berukuran 7.7 magnitud yang berlaku berhampiran Mandalay pada 28 Mac telah mengorbankan 3,727 orang, dengan 81 lagi masih hilang dan lebih 5,100 cedera.
Gempa itu turut memusnahkan infrastruktur penting dan menjejaskan hampir 508,000 orang, dengan lebih 28,500 kini berlindung di 106 pusat pemindahan sementara manakala lebih 266,000 tinggal bersama saudara-mara.
Anggaran jumlah kerugian mencecah US$1.7 bilion, dan angka itu masih dalam proses pengesahan oleh pihak berkuasa.
Duta Jepun itu turut mengulangi sokongan negaranya terhadap peranan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN tahun ini, dan berharap dapat memperkukuh kerjasama dalam menangani cabaran serantau dan global di bawah kepimpinan Malaysia.
"Saya amat berharap Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN dapat menangani isu-isu mendesak ini, dan Jepun bersedia menyokong peranan Malaysia dalam proses ASEAN," katanya.
Beliau menegaskan komitmen Jepun terhadap ASEAN, termasuk mempereratkan kerjasama dalam isu-isu yang menjadi kepentingan bersama seperti perubahan iklim, keselamatan tenaga, serta keamanan dan kestabilan di rantau Indo-Pasifik.
Tokyo juga menyokong agenda pembangunan ASEAN termasuk dalam aspek infrastruktur dan keterhubungan, katanya.
"Jepun secara tradisinya mempunyai hubungan rapat dengan ASEAN, dan kami ingin terus memperkukuh hubungan ini dalam landskap antarabangsa yang mencabar," kata Shikata.
Beliau turut memaklumkan bahawa Jepun dan Malaysia akan menganjurkan bersama Mesyuarat Menteri Komuniti Pelepasan Sifar Asia (AZEC) pada September ini, bagi memperkukuh kerjasama tenaga bersih di rantau ini.
Jepun secara rasmi menjadi rakan dialog ASEAN pada 1977 dan hubungan itu dipertingkatkan kepada Perkongsian Strategik Komprehensif pada 2023.
Sebagai rakan luar ASEAN, Jepun aktif menyertai mekanisme yang diketuai ASEAN termasuk ASEAN + Tiga, ASEAN + Enam, Sidang Kemuncak Asia Timur dan Forum Serantau ASEAN.
Dalam perkembangan lain, Shikata turut menegaskan komitmen berterusan Jepun untuk menyumbang secara positif terhadap situasi di Palestin menerusi inisiatif seperti Persidangan Kerjasama Negara Asia Timur bagi Pembangunan Palestin (CEAPAD).
"Inisiatif ini bertujuan memindahkan pengalaman pembangunan kami di Asia Timur dan Asia Tenggara untuk menyokong pembangunan mampan jangka panjang di Palestin, termasuk Gaza," katanya.
Beliau berkata Jepun berharap dapat bekerjasama rapat dengan Malaysia dan rakan ASEAN lain bagi menggalakkan pelaburan yang mampu menjana peluang pekerjaan dan memulihkan kehidupan di rantau itu.
"Kami percaya penciptaan pekerjaan berkualiti serta akses kepada pendidikan merupakan asas penting bagi membina keamanan dan kemakmuran yang berkekalan. Ini adalah usaha jangka sederhana dan panjang, dan kami komited untuk bekerjasama rapat dengan kerajaan Malaysia," katanya.
Mengenai hubungan dua hala, Shikata menyifatkan hubungan antara Jepun dan Malaysia sebagai kukuh, dengan kerjasama dalam bidang pendidikan menjadi tonggak utama kepada persahabatan dan kepercayaan yang telah lama terjalin.
Beliau berkata penubuhan kampus cawangan Universiti Tsukuba di Kuala Lumpur pada 2024, serta Institut Teknologi Antarabangsa Malaysia-Jepun (MJIIT) di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang dibuka pada 2010, adalah bukti kukuh hubungan erat antara kedua-dua negara.
"Saya gembira melihat kejayaan program kejuruteraan dan sains berteraskan gaya Jepun di UTM, yang turut melibatkan kerjasama kukuh dengan industri," katanya.
Melihat ke hadapan, beliau berharap lebih banyak program pertukaran pendidikan akan dianjurkan untuk pelajar kedua-dua negara.
"Malaysia menawarkan persekitaran berbilang budaya yang unik dan tidak dapat dialami pelajar Jepun di negara asal mereka. Ia merupakan latar yang sesuai untuk pembelajaran bersama.
"Melangkaui Dasar Pandang ke Timur, saya percaya kita harus mempromosikan dasar saling memandang bagi memperdalam persefahaman bersama," tambah beliau.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami