Skip to main content

Dunia

Jerebu: Kerajaan Indonesia disaman dakwaan kecuaian melampau tangani kebakaran hutan

Indonesia dituduh gagal menghentikan amalan 'tebang dan bakar' walaupun telah berjanji untuk bertindak tegas pada tahun-tahun sebelumnya. - Gambar fail/Reuters
Indonesia dituduh gagal menghentikan amalan 'tebang dan bakar' walaupun telah berjanji untuk bertindak tegas pada tahun-tahun sebelumnya. - Gambar fail/Reuters

Advertisement

Ringkasan AI

  • Kerajaan Indonesia disaman atas dakwaan kecuaian menangani kebakaran hutan yang menyebabkan jerebu, penutupan sekolah dan peningkatan penyakit pernafasan di Asia Tenggara.
  • Saman berkumpulan difailkan oleh masyarakat sivil dan orang asal Borneo, menamakan 10 defendan termasuk Presiden Prabowo Subianto, menuntut pemulihan dan kos rawatan kesihatan.
  • Perbicaraan di Pontianak ditangguhkan ke 21 Oktober selepas semua wakil kerajaan gagal hadir pada hari pertama prosiding.

JAKARTA: Kerajaan Indonesia dituduh telah melakukan 'kecuaian melampau' dalam satu saman berkumpulan berhubung dakwaan kegagalan menangani kebakaran hutan yang mengakibatkan jerebu di Asia Tenggara, penutupan sekolah dan peningkatan penyakit pernafasan.

Saman yang difailkan oleh kumpulan masyarakat sivil dan orang asal di Borneo itu menamakan 10 defendan, termasuk Presiden, Prabowo Subianto.

Plaintif menuntut langkah pemulihan menyeluruh, termasuk tanggungan kos rawatan kesihatan penduduk.

Pada hari pertama perbicaraan di Pontianak, Indonesia yang seharusnya berlangsung pada Rabu (7 Oktober), kesemua wakil kerajaan gagal hadir menyebabkan kes ditangguhkan ke 21 Oktober.

"Kami berasa sedih dan kesal dengan ketidakhadiran mereka... Namun, di sisi lain, kami juga memahami mungkin keadaan jerebu ini menyebabkan mereka tidak dapat mendarat di Pontianak (kerana jarak keterlihatan terhad)," ujar peguam plaintif, Glorio Sanen.

Tambah Sanen, kes ini disifatkan sebagai satu langkah menangani masalah kebakaran hutan tahunan yang sering dilakukan secara sengaja bagi membersihkan tanah untuk tujuan penanaman kelapa sawit.

Indonesia dituduh gagal menghentikan amalan 'tebang dan bakar' walaupun telah berjanji untuk bertindak tegas pada tahun-tahun sebelumnya.

Krisis tahun ini bertambah buruk akibat cuaca kering susulan fenomena El Niño yang melampau, sehingga mengakibatkan sekolah di Johor, Malaysia terpaksa ditutup.

Yakobus Kumis, plaintif yang mewakili etnik Dayak, meluahkan kekecewaan terhadap ketidakhadiran wakil kerajaan.

“Seolah-olah kerajaan hendak mengajar rakyat bahawa melanggar undang-undang adalah sesuatu yang dibenarkan,” luah Yakobus.

Must Watch Video

Advertisement