KUALA LUMPUR: Malaysia kekal bersedia menghulurkan bantuan kepada Indonesia bagi menangani kebakaran hutan dan tanah yang mengakibatkan jerebu rentas sempadan, selain mengusulkan mekanisme kerjasama pada peringkat ASEAN bagi memperkukuh tindakan bersama menangani masalah itu.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau mengikuti rapat perkembangan kebakaran berkenaan yang turut menjejaskan kesihatan dan kehidupan rakyat Malaysia, termasuk menyebabkan penutupan sekolah di beberapa negeri dan kawasan.
“Malaysia kekal bersedia menghulurkan bantuan sepertimana yang telah ditawarkan sebelum ini,” kata beliau menerusi hantaran Facebook semalam.
Anwar turut mengiktiraf usaha pemerintah Indonesia yang mengerahkan puluhan ribu anggota serta pelbagai aset udara bagi membendung kebakaran hutan dan tanah itu, sambil mengakui usaha menangani bencana berkenaan bukan mudah berikutan keluasan kawasan terjejas dan keadaan cuaca yang tidak menentu.
Beliau berkata cabaran rentas sempadan itu perlu ditangani menerusi komitmen dan tanggungjawab bersama, selaras dengan hubungan erat antara kedua-dua negara serta semangat kerjasama serantau.
“Kita telah mengusulkan mekanisme kerjasama pada peringkat ASEAN bagi memperkukuh penyelarasan, kesiapsiagaan dan tindakan kolektif dalam menangani jerebu rentas sempadan,” kata beliau.
-- BERNAMA