BANGKOK: Kualiti udara mencapai tahap berbahaya di Chiang Mai, Thailand pada Jumaat mendorong pihak berkuasa tempatan menggesa orang ramai bekerja dari rumah.

Pada 2 petang (waktu tempatan) Jumaat, laman sesawang pemantauan kualiti udara IQAir menyenaraikan Chiang Mai sebagai bandar utama paling tercemar di dunia dengan bacaan PM2.5 pada 323, iaitu 54.5 kali lebih tinggi berbanding garis panduan kualiti udara tahunan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Kawalan Pencemaran (PCD) Pinsak Suraswadi berkata pencemaran udara di Chiang Mai berpunca daripada beberapa faktor, termasuk kebakaran hutan dan titik panas di negara jiran.

"Asap tebal dijangka kekal di Utara, terutama di wilayah sempadan sehingga 14 April, katanya dipetik Bangkok Post.

Sementara itu, gabenor wilayah Chiang Mai, Nirat Pongsitthavorn mengeluarkan kenyataan menggesa sektor swasta dan awam membenarkan pekerja mereka bekerja dari rumah berkuat kuasa Jumaat.

Beliau turut menggesa orang ramai supaya kekal berada di dalam rumah terutamanya kanak-kanak, wanita hamil dan warga emas.

"Semua pusat jagaan kanak-kanak tanpa penghawa dingin diarah ditutup buat sementara waktu hari ini," katanya dalam satu kenyataan.

Agensi Pembangunan Teknologi Geo-Informatik dan Angkasa (GISTDA) melaporkan terdapat 3,280 titik panas di Thailand dengan 302 direkodkan di Chiang Mai, Chiang Rai (289) dan Mae Hong Son (281).

Sementara itu, Laos mempunyai jumlah titik panas tertinggi dengan 9,653, diikuti Myanmar (7,161), Vietnam (1,516) dan Kemboja (767).

Perdana Menteri Thailand Prayuth Chan o-cha pada Jumaat menghadiri mesyuarat tiga hala dengan rakan sejawatnya dari Laos Sonexay Siphandone dan ketua junta Myanmar Min Aung Hlaing secara atas talian untuk membincangkan cara memerangi pencemaran jerebu rentas sempadan dalam kalangan ketiga-tiga negara.

-- BERNAMA