INTERNATIONAL
Jerman ancam tindakan terhadap Israel, nada kian tegas isu Gaza

Jerman tidak akan mengekspot sebarang senjata yang boleh digunakan untuk melanggar undang-undang kemanusiaan, selaras dengan pendirian baharu kerajaan.
BERLIN: Jerman kini mengubah nadanya secara ketara terhadap Israel apabila Canselor Friedrich Merz dan Menteri Luar Johann Wadephul mengkritik keras tindakan ketenteraan Israel di Gaza.
Wadephul menyatakan, Jerman tidak akan mengekspot sebarang senjata yang boleh digunakan untuk melanggar undang-undang kemanusiaan, selaras dengan pendirian baharu kerajaan.
"Sokongan bersejarah Jerman terhadap Israel tidak seharusnya digunakan untuk menghalalkan kekejaman yang berlaku
"Situasi di Gaza telah menjadi tidak tertanggung akibat serangan udara besar-besaran serta kekurangan makanan dan ubat-ubatan", katanya.Walaupun tidak memutuskan hubungan diplomatik, perubahan pendirian ini amat signifikan bagi Jerman yang sejak pasca-Holocaust berpegang kepada dasar Staatsraeson, iaitu tanggungjawab khas terhadap kewujudan dan keselamatan Israel.
Dalam satu sidang media di Finland, Merz menegaskan, serangan udara Israel ke atas Gaza tidak lagi boleh dibenarkan atas alasan memerangi Hamas dan tindakan ketenteraan itu semakin sukar difahami dari segi logik strategik.
Beliau turut menyatakan, operasi ketenteraan berskala besar oleh Israel kini tidak menunjukkan hubungan yang jelas dengan matlamat menentang keganasan.
Perubahan nada ini berlaku ketika Kesatuan Eropah sedang mengkaji semula dasar terhadap Israel.
Negara seperti Britain, Perancis dan Kanada turut mempertimbangkan tindakan konkrit jika krisis kemanusiaan di Gaza terus berlanjutan.
Wadephul menegaskan bahawa tiada pesanan baharu senjata sedang dipertimbangkan buat masa ini dan sebarang keputusan berhubung penghantaran senjata tertakluk kepada Majlis Keselamatan yang dipengerusikan oleh Merz.
Beliau turut menyatakan bahawa jika wujud risiko senjata tersebut boleh digunakan untuk mencederakan orang awam, penghantaran akan dihentikan serta-merta.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami