Jerman catat serangan siber tertinggi dalam kalangan negara EU - Microsoft

Microsoft mendapati kebanyakan penggodam bermotifkan keuntungan kewangan, bukannya perisikan tradisional. - Foto hiasan
BERLIN: Jerman mencatat jumlah serangan siber tertinggi dalam kalangan negara Kesatuan Eropah (EU) dan berada di kedudukan keempat dunia sebagai sasaran utama penggodam jenayah, menurut laporan Microsoft pada Khamis.
Laporan Digital Defence Report 2025 oleh syarikat teknologi Amerika Syarikat (AS) itu mendapati 3.3 peratus daripada jumlah serangan siber global pada separuh pertama 2025 disasarkan ke atas pelbagai sasaran di Jerman, lapor agensi berita Jerman dpa.
Hanya AS (24.8 peratus), United Kingdom (5.8 peratus) dan Israel (3.5 peratus) mencatat jumlah percubaan penggodaman yang lebih tinggi berbanding Jerman.
Microsoft mendapati kebanyakan penggodam bermotifkan keuntungan kewangan, bukannya perisikan tradisional.Lebih separuh daripada serangan siber (52 peratus) melibatkan perisian tebusan (ransomware) yang digunakan untuk memeras wang daripada syarikat, individu atau institusi.
Serangan bertujuan pengintipan hanya merangkumi 4 peratus daripada keseluruhan kes.
"Ancaman daripada pelaku yang disokong negara kekal sebagai bahaya yang serius dan berterusan. Namun, kebanyakan serangan langsung yang dihadapi oleh organisasi hari ini berpunca daripada penjenayah biasa yang mahu mengaut keuntungan," kata jurucakap Microsoft.
Menurut laporan itu, ancaman terbesar di ruang siber berpunca daripada penggodam dari Rusia, China, Korea Utara dan Iran. Rusia menggunakan kumpulan penggodam untuk menyerang Ukraine dan negara anggota NATO, manakala Korea Utara dan Iran lebih cenderung melancarkan serangan ransomware bagi mengutip wang bagi tujuan negara.
Pakar IT Korea Utara yang bekerja di negara Barat turut menjadi isu besar.
Selama lebih sedekad, Korea Utara secara rahsia telah menyusup masuk puluhan ribu pekerja untuk bekerja secara jarak jauh di syarikat dan organisasi di seluruh dunia.
"Angkatan pekerja yang semakin meningkat ini memindahkan ratusan juta dolar ke Korea Utara setiap tahun. Apabila kegiatan mereka dikesan, sebahagian daripada mereka beralih kepada pemerasan sebagai satu lagi kaedah untuk mengumpul dana bagi rejim tersebut," menurut laporan itu.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami