Jerman gesa "reformasi menyeluruh" Majlis Keselamatan PBB

Majlis Keselamatan PBB mesti mencerminkan dunia abad ke-21 dan bukannya era pasca-perang sejurus selepas 1945, kata Menteri Luar, Johann Wadephul. - Gambar fail Reuters
BERLIN: Jerman pada Jumaat menggesa agar "reformasi menyeluruh" dilakukan terhadap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi mencerminkan realiti politik global abad ke-21, lapor Agensi Anadolu (AA).
"Majlis Keselamatan mesti mencerminkan dunia abad ke-21 dan bukannya era pasca-perang sejurus selepas 1945. Itulah sebabnya kami akan berusaha keras untuk memastikan Selatan Global khususnya, diberikan peranan yang jauh lebih kuat di sana," kata Menteri Luar, Johann Wadephul kepada agensi berita Jerman dpa.
Beliau berkata, kerajaan Jerman percaya badan itu memerlukan reformasi yang menyeluruh.
Wadephul menegaskan, pada prinsipnya, Jerman merupakan penyokong sistem PBB dan "tidak akan menarik diri seperti yang dilakukan oleh pihak lain," dipercayai merujuk kepada tindakan Amerika Syarikat (AS) yang mengurangkan penglibatan dalam agensi PBB dan membelakangkan badan itu.
Pada November lepas, di luar Sidang Kemuncak EU-Afrika di Angola, Canselor Friedrich Merz menyokong gesaan supaya dua kerusi tetap diperuntukkan kepada Afrika dalam Majlis Keselamatan.
Eropah dan Afrika secara bersama memiliki lebih 40 peratus daripada keseluruhan undi di PBB, katanya sambil menambah: "Bersama-sama kita mempunyai pengaruh yang besar. Namun, untuk mencapai (reformasi) ini, Afrika juga mesti diwakili dengan lebih baik di peringkat antarabangsa, selaras dengan kepentingan benua ini."
Jerman kini sedang bertanding untuk merebut satu daripada kerusi tidak tetap Majlis Keselamatan PBB pada Jun 2026 bagi penggal 2027-2028.
Majlis itu dianggotai 15 daripada 193 negara anggota PBB. Lima kuasa nuklear dan pemenang Perang Dunia Kedua merupakan anggota tetap yang mempunyai hak veto iaitu AS, China, Rusia, United Kingdom dan Perancis.
Sebahagian daripada 188 negara anggota lain akan bergilir-gilir mengisi 10 kerusi selebihnya setiap dua tahun.
Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan juga sejak sekian lama memperjuangkan reformasi PBB yang serupa.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


