KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka tinggi sedikit berbanding dolar AS hari ini namun dijangka kekal berdepan tekanan susulan ketegangan geopolitik yang semakin memuncak, dengan peniaga terus memilih dolar AS sebagai aset selamat.
Pada 8 pagi, mata wang tempatan itu diniagakan pada 3.9390/9535 berbanding dolar AS3.9440/9495 ketika ditutup semalam.
Advertisement
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, Indeks Dolar AS (DXY) terus meningkat apabila komuniti global memberi tumpuan kepada kesan penutupan Selat Hormuz.
"China yang banyak bergantung kepada import dari Asia Barat menggesa semua pihak memastikan keselamatan kapal yang melalui kawasan tersebut. Presiden AS Donald Trump pula memberi jaminan bahawa pengiring kapal tangki akan disediakan bagi memastikan aliran minyak dan gas tidak terganggu.
"Sementara itu, ringgit ditutup rendah sebanyak 0.53 peratus kepada RM3.946 berbanding dolar AS semalam. Dalam persekitaran penghindaran risiko ketika ini, kami menjangkakan ringgit kekal lemah apabila peniaga terus berlindung dalam dolar AS," katanya kepada Bernama.
Pada awal dagangan, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding kumpulan mata wang utama.
Mata wang tempatan itu meningkat sedikit berbanding yen Jepun kepada 2.4964/5059 daripada 2.5010/5048. Ringgit juga naik sedikit berbanding euro kepada 4.5736/5904 daripada 4.5778/5842 ketika ditutup semalam, namun susut berbanding pound Britain kepada 5.2590/2783 daripada 5.2451/2524.
Berbanding mata wang negara ASEAN, ringgit kebanyakannya diniagakan rendah.
Ia hampir tidak berubah berbanding rupiah Indonesia pada 233.4/234.4 daripada 233.7/234.2 sebelum ini, susut berbanding peso Filipina kepada 6.75/6.76 daripada 6.74/6.76 dan turun berbanding baht Thailand kepada 12.4652/5222 daripada paras 12.4401/4637 ketika ditutup pada Selasa.
Bagaimanapun, ringgit mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.0841/0959 daripada 3.0863/0909.
-- BERNAMA