Skip to main content

Dunia

Jerman, India meterai 'Pakatan AI' menjelang sidang kemuncak di New Delhi

German, India, Flag
Perjanjian itu merangkumi inisiatif dalam sektor perindustrian, tenaga, kesihatan dan pertanian.

NEW DELHI: Jerman dan India bersedia memperluas kerjasama dalam bidang kecerdasan buatan (AI).

Menteri Digital Jerman, Karsten Wildberger dan rakan sejawatnya dari India, Ashwini Vaishnaw pada Rabu memeterai satu “Pakatan AI” di New Delhi, ketika pemimpin global berhimpun bagi Sidang Kemuncak AI Impact, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Advertisement

Perjanjian itu merangkumi inisiatif dalam sektor perindustrian, tenaga, kesihatan dan pertanian.

Ia turut merangkumi bahagian berkaitan tenaga kerja mahir, dengan kenyataan India menyatakan bahawa pusat perhubungan akan diwujudkan di kedua-dua negara bagi memudahkan mobiliti pelajar dan tenaga kerja mahir dari India.

Dalam kenyataan bersama, Jerman dan India berikrar untuk membentuk pembangunan AI secara bertanggungjawab dan selamat selaras dengan nilai demokrasi, menurut kementerian digital Jerman.

Projek bersama dalam bidang AI, semikonduktor, pembayaran digital dan syarikat pemula bagi tempoh dua tahun akan datang telah dipersetujui pada Januari.

“Pakatan AI” itu akan memperdalam kerjasama dan menghidupkan perjanjian perdagangan bebas yang baru dimuktamadkan antara Kesatuan Eropah (EU) dan India, kata Wildberger.

“Ia akan mewujudkan peluang pertumbuhan untuk syarikat Jerman, mempelbagaikan rantaian nilai dan memperkukuh kedaulatan digital kami,” katanya.

Perjanjian itu dimeterai ketika pemimpin dunia termasuk Presiden Perancis, Emmanuel Macron dan rakan sejawatnya dari Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva berkunjung ke ibu negara India bagi menghadiri Sidang Kemuncak AI Impact yang berlangsung hingga Jumaat (20 Feb).

Wakil kanan syarikat teknologi seperti Ketua Pegawai Eksekutif OpenAI, Sam Altman dan Ketua Alphabet, Sundar Pichai turut mengumumkan penyertaan mereka.

-- BERNAMA-DPA

Must Watch Video