BERLIN: Pasukan polis berhempas-pulas menahan ramai suspek dan menyerbu banyak kediaman pada awal pagi Rabu di seluruh Jerman dan Itali, dalam satu kerjasama besar-besaran untuk melumpuhkan anggota sindiket jenayah terancang Itali, ’ndrangheta.

Di Jerman, lebih daripada 1000 anggota polis menggeledah puluhan rumah, pejabat dan gudang di negeri Bavaria, Rhine-Westphalia Utara, Rhineland-Palatinate dan Thuringia, kata pihak pendakwa dalam satu kenyataan bersama.

Di Itali pula, pasukan polis yang disokong aset helikopter bersama waran tangkap melancarkan operasi terhadap 108 individu, yang antara lain diakwa terlibat dengan aktiviti mafia, memiliki, menghasilkan dan mengeedar dadah dan senjata api, serta mengubah wang haram.

Pihak berkuasa Eropah sejak beberapa tahun telah menjalankan kempen membanteras kumpulan ’ndrangheta yang berpangkalan di Calabria. Ia dianggap sebagai kumpulan jenayah terancang paling kaya di dunia.

Kumpulan itu telah mengeksploitasi puluhan bilion dolar hasil daripada bisnes kokain selama berdekad-dekad dan merentasi seluruh Eropah dan beberapa benua lain, sejak kumpulan mafia Sicily hilang kuasa dan pengaruh.

Di Jerman, kumpulan `ndrangheta telah diasaskan sejak tahun 1970-an. Ia dianggap sebagai kumpulan jenayah terancang Itali paling kebal dan bermaharajalela dalam aktiviti pengedaran dadah antarabangsa.

Lebih 30 suspek dengan waran tangkap utama telah berjaya ditahan di Jerman. Mereka didakwa atas kesalahan pengubahan wang haram, penipuan komersial berkumpulan dan penyeludupan narkotik.

Serbuan yang dijalankan Jerman dan Itali itu merupakan sebahagian daripada siasatan berterusan melibatkan Europol, yang juga menjadi langkah pembanterasan bersama di seluruh Eropah.